
KUALA LUMPUR - Kemelut ‘rampasan kuasa’ yang dilaporkan berlaku dalam Persatuan Kriket Malaysia (MCA) dipercayai bertambah buruk, sehingga mendorong Presiden persatuan meletakkan jawatan, semalam.
Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali ketika dihubungi Getaran berkata, peletakan jawatan tersebut berkuatkuasa serta merta.
Katanya, tindakan itu diambil demi maruah dan nama baik yang sejak sekian lama cuba dicemari pihak tertentu.
“Dengan meletakkan jawatan ini, saya mengekalkan integriti saya. Cinta saya terhadap sukan ini tidak berkurang, begitu juga dengan komitmen saya untuk melihat bendera kita dikibarkan di pentas dunia oleh mereka yang berasal dari tanah ini,” katanya.
Memetik ‘rampasan kuasa’ sebagai penyebab, Iqbal berkata, ia adalah tindakan yang wajar dilakukan, mengambil kira keadaan semasa.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah merancang coup d’état ini.
“Bagi mereka yang meletakkan jawatan bersama saya, ia bukan soal esprit de corps tetapi pemahaman yang jelas tentang apa yang wajar dilakukan dalam situasi seperti sekarang,” katanya.

Jelas Iqbal, keputusan berkenaan bukan sesuatu yang mudah kerana cintanya pada kriket amat menebal.“Sebagai bekas kapten pasukan kebangsaan, saya tahu apa ertinya memimpin pasukan negara kita di padang.
“Sebagai Presiden Persatuan Kriket Malaysia, saya tahu apa ertinya memimpin usaha kolektif negara kita untuk membangunkan sukan kriket,” katanya.
Beliau menarik perhatian, MCA di bawah pentadbirannya dan barisan exco sedia ada berjaya mencapai kecemerlangan dari segenap aspek.
Katanya, pasukan lelaki dan wanita kebangsaan berjaya mencapai kedudukan tertinggi dalam sejarah kriket Malaysia iaitu tempat ke-24 dunia.
“Kita telah menjadi tuan rumah bagi Piala Asia dan Piala Dunia Wanita Bawah 19 Tahun di Malaysia, yang terakhir menjadi acara sukan yang paling banyak ditonton dalam sejarah Malaysia dengan lebih 750 juta penonton di seluruh dunia.
“Tahun ini, Persatuan Kriket Malaysia mencatatkan pendapatan melebihi RM17 juta; ketika saya mengambil alih, ia hanya sekitar RM4 juta setahun,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, senario yang menyelubungi dunia kriket mutakhir ini sama sekali tidak mencerminkan semangat kesukanan sebenarz
“Bagi anak-anak lelaki dan perempuan yang akan mengetahui apa yang berlaku di sini hari ini, saya berharap dan berdoa agar ia tidak memberi kesan negatif terhadap imej sukan kesayangan kita ini.
“Paling baik, alihkan pandangan anda kerana ini adalah tindakan mementingkan diri oleh segelintir individu,” katanya, kesal.
Getaran sebelum ini pernah melaporkan kemelut coup-de-tat yang melanda MCA, angkara tindakan beberapa individu yang mahu mengambil alih barisan kepemimpinan persatuan.
Komplot itu didakwa didalangi bekas presiden MCA, Mahinda Vallipuram yang mahu kembali memegang tampuk kepimpinan dan Naib Presiden Persatuan Kriket Sarawak, Gordon Chung.
Sumber memberitahu Getaran, Mahinda berdepan masalah untuk mengekalkan kedudukan di peringkat antarabangsa, justeru kedudukan sebagai Presiden bakal membuka ruang untuk beliau mengawal MCA secara langsung.
“Chung juga dilaporkan telah melanggar segala etika dan menukar mesyuarat majlis menjadi perbalahan yang penuh dengan jeritan, yang akhirnya menyebabkan Presiden dan beberapa individu lain bertindak keluar.
“Namun begitu, ada kalangan ‘orang dalam’ memberitahu, mereka yang meletak jawatan ini akan kembali pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan merancang untuk mendedahkan konspirasi serta semua yang terlibat,” katanya.
Lebih mengejutkan, sumber memberitahu, komplot berkenaan turut melibatkan Bendahari Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Ahmad Feisal Tajuddin.
“Memang wujud syak wasangka ini kerana Ahmad Feisal pada masa sama ialah Naib Presiden MCA, malah memiliki hubungan rapat dengan Presiden MOM, Tan Sri Mohammad Norza Zakaria.
“Jadi, apakah sebenarnya MOM juga ada memainkan peranan sebagai ‘tangan ghaib’ untuk ‘menghancurkan’ Iqbal dan pasukannya?” katanya. - Getaran, 14 April 2025

