“Buktikan Sumbangan Baru Sembang” – Da’i Wan Titip Nasihat Buat DMA Islam Selepas Kalah Dengan Abang Koroy

LocalEntertainment
18 Jun 2025 • 10:58 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kebelakangan ini, nama pempengaruh atau pencipta kandungan kontroversi, DMA Islam sering meniti di bibir masyarakat kerana kontennya yang disifatkan melampau sering mencetuskan provokasi.

Terbaharu, DMA Islam atau nama sebenarnya Danial Mirza sekali lagi menjadi bualan ekoran kekalahannya dalam sebuah perlawanan tinju menentang pempengaruh, Awie MBR atau dikenali sebagai Abang Koroy yang diadakan di The Cage, Lalaport.

Menerusi siaran langsung yang ditunjukkan di media sosial, DMA Islam tewas selepas dibelasah teruk oleh Abang Koroy sekaligus tidak mampu menghabiskan keseluruhan pusingan.

Kekalahan influencer itu nyata menjadi perhatian hingga ramai yang berpuas hati melihat kekalahannya.

Da’i Wan Titip Nasihat Buat DMA Islam, Harap Berubah Ke Arah Lebih Baik

Terbaharu, seorang pendakwah dan penceramah bebas, Da’i Wan telah menitipkan nasihat buat DMA Islam ekoran kekalahannya dalam perlawanan tinju semalam (17 Jun).

Menerusi hantaran di Instagram @wandazrin, pendakwah tersebut menzahirkan ucapan tahniah kepada Abang Koroy dan mendedahkan dia telah menjangkakan kemenangan influencer berkenaan.

Namun apa yang menjadi perhatian adalah kata-kata nasihat buat DMA Islam yang mengharapkan agar pempengaruh itu berubah.

“Tahniah Awie MBR. Dari dulu saya dah tahu tentang Awie dan saya memang dah agak Awie akan menang untuk yang sekali ini.

“Allah SWT akan menangkan siapa yang patut dan bagi pengajaran pada siapa yang patut.

“Dari sebahagian duit kemenangan itu, jangan melekakan Awie pula dan dari kekalahan ini, saya harap DMA Islam mula berubah sikap atau attitude ke arah yang lebih baik,” tulisnya di ruang kapsyen.

Difahamkan, Abang Koroy berjaya memenangi hadiah utama iaitu wang tunai RM10,000 menerusi perlawanan tersebut.

Buktikan Dengan Sumbangan, Baru Layak Untuk Sembang – Da’i Wan

Menerusi tangkap layar hantaran yang dikongsikan, Da’i Wan berpendapat seseorang itu perlu membuktikan sesuatu dengan sumbangan sebelum berkata-kata.

“DMA tewas dgn Koroi. Ada satu benda yang saya nak sebut. Kalau nak jadi orang yang hebat macam Azri Walter. Dia dah ada sumbangan, karier bukti, baru dia layak untuk sembang.

“Yang masih muda, belum ada apa-apa sumbangan dan bukti karier. Jangan tunjuk rasa Masculinity dengan lagak dulu sebab belum layak,” katanya.

Da’i Wan Saran DMA Islam Mohon Maaf

Malah, Da’i Wan turut meminta agar DMA Islam memohon maaf atas keterlanjuran kata-katanya.

“Dengan bahasa tak tahu jaga, adab tak ada. Allah takdirkan dengan sejatuh-jatuhnya sekali dengan aib diri.

“Nasihat saya, minta maaflah atas ketelanjuran kata-kata selama ini. Biar berpijak pada bumi yang nyata, bukan pada hanya tahu berkata-kata pedas dan seakan nampak tidak kosong sahaja.

“‘Adab & sopan santun’ adalah pemenang kepada kerendahan hati dari orang yang sebenarnya memang hebat, tetapi dia tak pernah rasa nak menunjuk kehebatan diri dia,” katanya.

Perlawanan Tinju Sebelum Ini Telah Dibatalkan

Sebelum ini, perlawanan tinju di antara DMA Islam menentang Abang Koroy yang sepatutnya berlangsung pada Ahad (15 Jun) lalu sempena Hari Belia Negara (HBN) dibatalkan pada saat akhir.

Susulan itu, DMA Islam berang dan mendakwa telah melakukan persiapan rapi selama tiga bulan dalam menghadapi perlawanan Twins Championship Amateur & Pro HBN 2025 tersebut.

Malah, dia turut mempersoalkan kesan pembatalan perlawanan tersebut terhadap para penyokong disamping turut memohon maaf kepada mereka.

Namun, ia akhirnya diadakan semula dan tarikh ditukar kepada semalam (17 Jun).

Source: