Buku pesanan kukuh RM4.2 bilion sokong pendapatan Binastra empat tahun akan datang - RHB Research

LocalBusiness & Finance
21 Apr 2025 • 12:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Buku pesanan kukuh RM4.2 bilion sokong pendapatan Binastra empat tahun akan datang - RHB Research

image is not available

21/04/2025 - 12:50

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 21 April - Buku pesanan kerja kukuh bernilai RM4.2 bilion milik Binastra Corp Bhd dijangka menyokong kestabilan pendapatan syarikat itu untuk tempoh sekurang-kurangnya empat tahun, menurut RHB Investment Bank Bhd.

Firma penyelidikan tersebut berkata, setakat tahun ini, Binastra telah berjaya memperoleh kontrak baharu berjumlah RM709 juta, selari dengan sasaran syarikat untuk mencapai RM4 bilion nilai penambahan kerja bagi tahun kewangan 2026 (FY26).

Antara kontrak terbaharu yang diperoleh ialah dua projek bernilai RM458.5 juta daripada Exsim Kebun Teh di Johor Bahru, melibatkan kerja pembinaan utama dan luaran bagi dua blok pangsapuri perkhidmatan.

Satu daripada blok berkenaan setinggi 43 tingkat dengan 848 unit dan satu lagi blok 41 tingkat dengan 735 unit.

Ia merupakan kemenangan kontrak pertama Binastra di Johor Bahru, menandakan satu lagi peluasan operasi keluar dari Lembah Klang selepas kejayaan syarikat meneroka pasaran Sabah pada tahun 2024.

RHB Research turut memaklumkan, Exsim masih mempunyai tanah simpanan di Johor Bahru, termasuk kawasan berhampiran Hotel New York dan Jalan Lumba Kuda, yang berpotensi menjana nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM3 bilion atau nilai pembinaan melebihi RM1.5 bilion.

"Maxim Global Bhd iaitu antara pelanggan utama Binastra, telah membeli sebidang tanah seluas 2.63 hektar di Taman Pelangi untuk pembangunan masa depan," jelas kata RHB dalam nota kajiannya.

Sehubungan itu, RHB mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Binastra dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.21. - DagangNews.com

standard