Buku Prima perkenal lapan novel seram baharu di PBAKL 2026

LocalEntertainment
1 Jun 2026 • 4:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Buku Prima perkenal lapan novel seram baharu di PBAKL 2026
Arman dan Maria ketika sesi temu mesra penulis Buku Prima di reruai Karangkraf di PBAKL 2026 pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Sebanyak lapan novel baharu genre thriller seram terbitan Buku Prima di bawah Karangkraf dilancarkan sempena penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Kali ini Buku Prima memperkenalkan Rubah Putih nukilan Ramlee Awang Murshid; Kurungan Ajal (Maria Kajiwa); Akademi Pemburu Hantu (Helmi Effendy); Cold Case (Azmeer Shah); Petaka Tiga Seru (S Kausari); The Girl You Want To Kill (Lee Kkoch-nim) terjemahan versi Bahasa Melayu daripada novel 'best seller' Korea; Serum Code LPiv (Arman Jazee) serta Doppelganger II (Nurul Syahida).

Novelis thriller terkenal, Maria Kajiwa berkata, beliau memperkenalkan naskah eksklusif berjudul Kurungan Ajal yang dipasarkan sejak hari pertama penganjuran PBAKL.

Menurut Maria, pihaknya menyimpan idea untuk menerbitkan naskah terbaharu itu lebih dari 20 tahun, bermula daripada pengumpulan bahan sehingga penulisan manuskrip sejak dua tahun lalu.

Katanya, ia mengisahkan tentang tragedi kematian seorang pengawal keselamatan dan misteri penutupan Zoo Everwild serta gangguan aneh dialami semasa proses pembukaan semula premis itu.

"Saya ambil masa dua tahun untuk siapkan manuskrip dan selesai pada November tahun lepas. Kemudiannya penerbit memutuskan untuk terbitkan Kurungan Ajal eksklusif untuk PBAKL 2026.

"Setakat ini, Alhamdulillah saya fikir sambutan amat memberangsangkan. Saya diberitahu Kurungan Ajal berjaya memasuki carta 10 teratas kategori novel terlaris antara semua genre yang ada.

"Jadi, pembaca boleh dapatkan Kurungan Ajal secara dalam talian dan fizikal di reruai Karangkraf di PBAKL 2026 pada harga RM35 sahaja," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika sesi temu mesra penulis Buku Prima reruai Karangkraf, PBAKL 2026, bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Isnin.

PBAKL 2026 kembali menemui pencinta buku bermula 29 Mei hingga 7 Jun ini di WTC dengan tema 'Malaysia Membaca; Merayakan Buku!'.

Penganjuran edisi ke-43 itu menyaksikan sambutan memberangsangkan daripada industri penerbitan tempatan dan antarabangsa apabila menghimpunkan 1,210 reruai dengan penyertaan 232 syarikat.

Sementara itu, penulis karya Serum Code LPiv, Arman Jazee berkata, pihaknya memperuntukkan masa kira-kira tiga tahun untuk melengkapkan naskah thriller itu, dari sudut carian maklumat, kajian mendalam, penyediaan manuskrip sehingga proses penerbitan.

Beliau mengakui cukup gemar dengan fakta sejarah serta dunia perisikan dan ilmu yang dipelajari diolah dalam bentuk penulisan fiksyen pula.

Jelasnya, karya kali ini cukup memberikan warna berbeza kerana berkisar tentang seorang saintis Yahudi mencipta serum luar biasa yang amat berkuasa, namun Kerajaan Israel mempunyai agenda gelap iaitu ingin menjadikannya senjata untuk menguasai dunia.

"Apabila kebenaran terbongkar, saintis itu melarikan diri ke Malaysia dan menjadi buruan Mossad. Dia bertemu Alias, pesara tentera yang lama meninggalkan medan tempur.

"Saintis itu membuat pilihan terakhir sebelum nyawanya tamat dengan menyuntik serum tersebut ke dalam tubuh Alias. Itu antara intipatinya.

"Sepanjang 14 tahun menulis, genre ini dah sebati dalam diri saya di mana sebelum nak mula apa-apa, saya kena pastikan saya buat kajian, dapatkan informasi daripada pihak berkuasa dan sebagainya," ujarnya.

Beliau berpendapat bahawa maklumat bukan diperoleh daripada Internet semata-mata, tetapi juga perkongsian daripada polis, doktor dan ramai lagi demi menguatkan konteks penceritaan.

"Saya fikir apabila maklumat ilmiah diolah dalam genre fiksyen, ramai yang akan baca dan nampak jelas jalan ceritanya. Oleh itu, dapatkan novel terbaharu ini pada harga hanya RM34," kata Arman.