Pahang perkenal tujuh penerbitan eksklusif sempena PBAKL 2026

31 May 2026 • 1:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pahang perkenal tujuh penerbitan eksklusif sempena PBAKL 2026
Wan Rosdy (tengah) merasmikan Koleksi Buku Eksklusif Negeri Pahang dan Pristine Pahang: Celebrating Stories sempena PBAKL 2026
Image from: Pahang perkenal tujuh penerbitan eksklusif sempena PBAKL 2026
Kerajaan Pahang memperkenalkan tujuh penerbitan eksklusif menampilkan identiti, kekuatan dan keistimewaan negeri itu sempena PBAKL

KUALA LUMPUR - Kerajaan Pahang memperkenalkan tujuh penerbitan eksklusif menampilkan identiti, kekuatan dan keistimewaan negeri itu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Kali Ke-43 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Ahad.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penerbitan berkenaan merangkumi pelbagai aspek termasuk keindahan alam semula jadi, pencapaian saintifik dan konservasi, dasar pembangunan lestari serta produk pelancongan negeri.

Tujuh penerbitan itu ialah Sketch Pahang: Pahang First - Edisi Istimewa, Best Places in Tengku Hassanal Wildlife Reserve, Pahang Passage Through Sight and Soul, Dasar Biodiversiti Negeri Pahang, Pahang State Action Plan for Peatlands 2026-2035, Pasport Pahang: Edutourism Trail @ Kuantan dan Celebrating 25 Years Forest Frontier Discoveries.

"Semua karya berkenaan membuktikan Pahang bukan sahaja kaya dengan sumber alam dan warisan, malah turut memiliki khazanah ilmu, pengalaman serta cerita yang wajar dikongsi kepada masyarakat dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Koleksi Buku Eksklusif Negeri Pahang dan Pristine Pahang: Celebrating Stories sempena PBAKL 2026.

Wan Rosdy berkata, pengiktirafan Pahang sebagai Negeri Tamu pada pesta buku kali ini merupakan satu penghormatan besar membuktikan negeri itu semakin mendapat perhatian dan tempat istimewa di peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, dengan jangkaan kehadiran sehingga dua juta pengunjung sepanjang pesta buku berkenaan, ia membuka peluang besar untuk memperkenalkan keindahan alam semula jadi, kekayaan biodiversiti dan produk pelancongan Pahang kepada pengunjung tempatan serta antarabangsa.

"Usaha berkenaan selari dengan semangat Tahun Melawat Malaysia 2026, selain semua destinasi eko-pelancongan di bawah Tourism Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Jabatan Perhilitan berada dalam keadaan bersedia menerima kehadiran pelancong," ujarnya.

**media[3536581]**

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Tourism Pahang merekodkan 15.58 juta pengunjung pada 2025 berbanding 13.73 juta pengunjung pada 2024.

Jelasnya, Tourism Pahang turut menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi anugerah Most Impactful State Tourism Organisation – Malaysia 2025 dalam Asian Tourism & Hospitality Awards 2025–2026.

Wan Rosdy berkata, Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal yang meliputi lebih 60,000 hektar kawasan di Temerloh, Jerantut dan Raub pula diiktiraf sebagai ASEAN Heritage Park ke-64 sejak 3 September 2025.

Menurut beliau, pengiktirafan itu membuktikan komitmen serius Kerajaan Negeri Pahang dan Malaysia dalam memelihara khazanah biodiversiti untuk generasi akan datang.

Selain itu, katanya, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah terus menjadi tarikan utama pelancong apabila merekodkan 261,687 pengunjung pada 2025 berbanding 179,262 pengunjung pada 2022, manakala Galeri Gandah akan dinaik taraf tahun ini.

"Dalam sektor pendidikan dan pembudayaan ilmu, Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang merekodkan hampir 442,000 pengunjung serta lebih 280,000 pinjaman bahan bacaan sepanjang 2025, selain melaksanakan 2,599 aktiviti galakan membaca di seluruh negeri," tambahnya.

Beliau turut memaklumkan Pahang terus mengekalkan keluasan kawasan berhutan sebanyak 2.057 juta hektar atau lebih 57.07 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri, dengan 1.6 juta hektar daripadanya diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal, sekali gus membuktikan komitmen negeri terhadap pengurusan hutan mampan dan bertanggungjawab.