Buku tempahan Solarvest dijangka melepasi RM2 bilion pada FY26, disokong projek RE

22/05/2025 - 11:48
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 22 Mei – Solarvest Holdings Bhd dijangka mencatatkan buku tempahan melebihi RM2 bilion pada tahun kewangan 2026 (FY26), didorong oleh pelaksanaan projek tenaga boleh diperbaharui berskala besar serta permintaan yang kukuh daripada sektor komersial dan industri.
Hasil meningkat kepada RM224.87 juta berbanding RM96.9 juta, manakala pendapatan sesaham naik 2.82 sen daripada 1.15 sen.
Bagi keseluruhan tahun kewangan, keuntungan bersih meningkat RM51.94 juta daripada RM32.63 juta pada FY24, dengan hasil meningkat kepada RM536.82 juta berbanding RM497.03 juta.
Sehingga 31 Mac 2025, buku tempahan belum dibil Solarvest berjumlah RM1.24 bilion.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Davis Chong Chun Shiong berkata, sasaran itu disokong oleh tambahan kontrak program solar berskala besar kelima (LSS5), jangkaan penganugerahan LSS5+, serta penglibatan aktif dalam sistem penyimpanan tenaga solar dan tender LSS6 yang dijangka berlangsung pada suku kedua dan ketiga tahun kewangan 2025 (2Q25 dan 3Q25).
"Memandangkan kemungkinan semakan tarif elektrik pada Julai ini, daya maju projek di bawah Skim Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (Corporate Renewable Energy Supply Scheme) dijangka bertambah baik. Ini membuka peluang besar kepada Solarvest untuk melebihi sasaran buku tempahan RM2 bilion," katanya dalam satu kenyataan.
Projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan, dan pentauliahan (EPCC) sedang berjalan di bawah Program Tenaga Hijau Korporat serta LSS5.
Segmen komersial dan industri pula dijangka menyumbang kira-kira RM200 juta setahun.
Pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (4Q25), syarikat mencatat keuntungan bersih RM20.53 juta, melonjak 165% berbanding RM7.73 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Solarvest menyatakan prospek industri tenaga boleh diperbaharui (RE) kekal positif, disokong komitmen kerajaan meningkatkan kapasiti RE kepada 70% dalam campuran tenaga negara dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Menjelang 2025, sektor tenaga dijangka meningkatkan kapasiti RE kepada 31% dan 40% menjelang 2035, dengan tenaga solar menjadi sumber utama.
Landskap RE Malaysia terus berkembang dengan pelbagai inisiatif termasuk Permintaan untuk Cadangan (RFP) bagi program Malaysia Battery Energy Storage (MyBeST) yang dikeluarkan Mei ini, menyasarkan kapasiti simpanan tenaga 400MWh/1,600MWh di seluruh Semenanjung menjelang 2027.
Program itu terbuka kepada pemaju pihak ketiga dan dijangka meningkatkan kestabilan serta fleksibiliti grid negara dalam menyokong peralihan kepada RE.
Mengulas prestasi syarikat, lembaga pengarah Solarvest berpandangan prestasi kumpulan dijangka kekal memberangsangkan pada tahun kewangan akan datang, sekiranya tiada ketidaktentuan luar jangka.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) turut menaikkan unjuran pendapatan Solarvest bagi FY26 dan FY27 masing-masing 23% dan 22%, disokong oleh tambahan anggaran pengisian semula buku tempahan tahunan RM1 bilion serta sumbangan lebih tinggi daripada syarikat sekutunya.
Firma itu turut memperkenalkan unjuran bagi FY28, mengambil kira peningkatan kejelasan pendapatan hasil keupayaan pelaksanaan projek yang kukuh dan pertumbuhan pendapatan berulang.
Selaras semakan semula itu, harga sasaran saham Solarvest dinaikkan kepada RM2.28 sesaham daripada RM2.14 sebelumnya, dengan saranan 'Beli' dikekalkan.- DagangNews.com
standard


