Projek sulung UOA Development di Johor Bahru dijangka raih GDV RM650 juta, kata RHB Research

LocalBusiness & Finance
9 May 2025 • 3:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek sulung UOA Development di Johor Bahru dijangka raih GDV RM650 juta, kata RHB Research

image is not available

09/05/2025 - 15:46

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 9 Mei – Projek sulung UOA Development Bhd di luar Lembah Klang membabitkan pembangunan servis apartmen di Johor Bahru dijangka meraih nilai pembangunan kasar (GDV) sehingga RM650 juta, kata RHB Research.

Susulan unjuran positif itu, firma penyelidikan itu menaikkan penarafan UOA Development kepada "beli" dan menetapkan harga sasaran (TP) baharu kepada RM1.93 sesaham, berbanding harga terakhir RM1.77.

Projek seluas 0.4 hektar itu dijangka menawarkan harga jualan purata sekitar RM1,500 bagi setiap kaki persegi, seiring harga pasaran semasa.

RHB Research positif dengan pengambilalihan tanah baru-baru ini oleh UOA Development di pusat bandar Johor Bahru.

Pada 30 April lalu, UOA Development mengumumkan mereka telah menandatangani perjanjian untuk membangunkan tanah tersebut menjadi servis apartmen.

UOA Development dan anak syarikatnya dijangka memegang 75% pegangan dalam usaha sama tersebut.

Walaupun margin keuntungan dijangka sedikit lebih rendah berbanding projek sedia ada di Lembah Klang disebabkan kos tanah yang lebih tinggi di lokasi baharu, RHB Research tetap yakin dengan potensi nilai tambah projek berkenaan.

Firma penyelidikan itu berkata, tapak projek itu berhampiran stesen Bukit Chagar bagi Johor Bahru-Singapura Rapid Transit System Link yang dijangka siap akhir 2026, sekali gus meningkatkan harga tanah di kawasan sekitarnya.

"Kami tetap positif terhadap langkah pengurusan UOA Development meneroka pasaran luar Lembah Klang bagi memperluas kehadiran dan meningkatkan jualan hartanah dalam jangka sederhana," tambah RHB Research.

Daripada lima firma penyelidikan yang meliputi syarikat itu, tiga mencadangkan "beli" dan dua "pegang".

Harga sasaran purata RM1.92 menunjukkan potensi pulangan sekitar 8.5% dalam tempoh 12 bulan daripada harga semasa.- DagangNews.com

standard