
LAHAD DATU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) terus komited dalam usaha memperkukuh gerakan dakwah di seluruh negeri melalui penganjuran Bulan Dakwah yang sarat dengan pelbagai program keagamaan.
Bulan Dakwah yang dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) dilihat sebagai salah satu platform untuk menyokong pengukuhan gerakan dakwah di Sabah.
Yang Dipertua Usia Datuk Sapawi Ahmad berkata Bulan Dakwah dilaksanakan secara menyeluruh meliputi enam zon utama di Sabah termasuk Tambunan, Keningau, Beaufort, Sipitang, Kudat dan Sandakan selain kawasan Pantai Timur iaitu Tawau, Semporna dan Lahad Datu.
“Pengisian yang dibuat sempena Bulan Dakwah mendapat sambutan yang menggalakan daripada masyarakat.
“Kerjasama dan sokongan padu pelbagai pihak menjadi asas kukuh kepada pembangunan Usia serta menjadi penanda aras kepada kejayaan program dakwah tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Ziarah Dakwah Pantai Timur yang diadakan di Kompleks Sukan Lahad Datu.
Menurut Sapawi kehadiran masyarakat yang sangat menggalakan menunjukan keinginan tinggi umat Islam terhadap program yang sarat dengan pengisian ilmu agama dan bimbingan rohani.
Tambahnya program sama juga dilihat dapat memperkukuh perpaduan ummah dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu Pengerusi Penganjur Program Ziarah Dakwah Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan berkata sambutan luar biasa masyarakat Lahad Datu menjadi dorongan untuk Usia memperkukuh lagi usaha dakwah di Sabah.
Katanya inisiatif dakwah seumpama itu dilihat selari dengan usaha mendidik masyarakat menghadapi cabaran semasa yang semakin mencabar.
Terdahulu lebih 20,000 penduduk Lahad Datu dan kawasan sekitar hadir memeriahkan program ilmu itu yang menampilkan pendakwah terkenal Profesor Dr Ustaz Abdul Somad.



