
SHAH ALAM - Seramai tujuh pelajar yang terlibat dalam insiden buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di utara tanah air disyorkan untuk ditamatkan pengajian di institusi itu.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) telah memutuskan keputusan tersebut dalam satu mesyuarat.
Menurutnya, hasil siasatan JDM mendapati seramai tujuh pelajar institusi pendidikan terbabit terlibat dalam insiden buli terhadap seorang pelajar.
"Daripada jumlah itu, siasatan mendapati dua pelajar terlibat secara langsung membuli, manakala lima rakan mereka pula bersubahat dalam kejadian tersebut.
"Sehubungan itu, semua pelajar MRSM yang terlibat disyorkan ditamatkan pengajian dari MRSM," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan bahawa MARA telah mengarahkan siasatan segera dijalankan terhadap dakwaan kejadian buli di sebuah MRSM.
Arahan tersebut susulan tularnya satu video berdurasi 1 minit 31 saat di Facebook yang memaparkan beberapa pelajar didakwa memijak dan duduk di atas seorang pelajar lelaki.
Lebih mengejutkan, mereka menggunakan tali pinggang untuk mengikat kaki mangsa, dan remaja lelaki terbabit dilihat tidak melawan.
Berikutan itu, kesemua pelajar yang terlibat telah digantung persekolahan sehingga siasatan terperinci selesai. Langkah ini bertujuan memastikan siasatan tidak terganggu serta menunjukkan tiada kompromi terhadap kesalahan buli.

