
KUALA LUMPUR – Hukuman yang lebih ketat bagi kesalahan buli siber perlu dilaksanakan pada kadar segera bagi menyekat perbuatan itu dari terus berlarutan.
Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Saraswati Nallathamby berkata, buli siber mungkin dilihat ramai sebagai perbuatan atau kesalahan ringan, namun kesan ditanggung mangsa hakikatnya bukan sedikit.
Menurut beliau, ramai mangsa buli siber berdepan kemurungan serius sehingga ada yang mengambil tindakan drastik dengan menamatkan riwayat sendiri.
“Buli siber adalah satu jenayah yang boleh mendatangkan kesan psikologi mendalam kepada mangsa, termasuk tekanan mental.
“Dalam kes lebih ekstrem, ada mangsa kehilangan nyawa apabila menamatkan riwayat sendiri. Pastinya undang-undang lebih ketat perlu digubal agar hukumannya juga lebih keras,” katanya kepada Getaran.
Jelas Saraswati, peraturan diguna pakai buat masa ini terlalu ringan, apabila pesalah yang disabitkan dengan dakwaan hanya berdepan denda maksimum berjumlah RM100.
“Apakah nilai nyawa mangsa semurah itu? Kita sedar mahkamah telah menjalankan tugas dengan adil dan saksama, namun kerajaan juga perlu melakukan sesuatu agar nasib semua mangsa dan keluarga mereka mendapat pembelaan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah berkata, pelaksanaan hukuman yang lebih berat akan memberi mesej jelas kepada pembuli siber.
“Dengan adanya hukuman yang lebih keras, golongan pembuli ini pasti akan berwaspada dan menghentikan tindakan mereka.
“Mereka perlu sedar, perbuatan dilakukan itu adalah jenayah dan tidak ada kompromi dalam hal ini,” tegasnya.
Semalam, seorang daripada suspek yang terlibat melakukan buli siber ke atas seorang pempengaruh didenda RM100 selepas disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Pempengaruh berkenaan, Rajeswary Appahu atau lebih dikenali sebagai Esha ditemui mati di kediamannya pada 5 Julai lalu, selepas dilanda tekanan akibat dibuli secara siber.
Gadis malang itu bukan sahaja dimalukan dengan kata-kata kesat ketika sedang melakukan penstriman secara langsung, tetapi turut berdepan beberapa ugutan jenayah oleh pembuli.
Susulan insiden, seorang wanita ditahan kerana disyaki terbabit memfitnah dan mengugut Esha.
Dia dipercayai memuat naik dua kandungan video yang telah disunting, mengandungi foto mangsa, kata-kata berbaur ugutan dan lucah. – Getaran, 17 Julai 2024
