
MUNICH – Jurulatih Bayern Munich, Vincent Kompany mendedahkan bahawa Jamal Musiala mungkin membuat penampilan kompetitif pertamanya menentang Schalke dalam Bundesliga pada awal pagi esok.
Bagaimanapun, pengendali dari Belgium itu menegaskan bahawa beliau tidak akan memberi tekanan kepada pemain antarabangsa Jerman tersebut susulan beberapa kali insiden melibatkan Musiala yang hampir pitam di padang ketika aksi pramusim.
Kompany memberikan perkembangan positif mengenai tahap kecergasan Musiala apabila mengesahkan bahawa pemain tersebut mungkin kembali beraksi tidak lama lagi selepas dikesan mengalami masalah neurologi.
Akibatnya, dia tidak diturunkan ketika Bayern berdepan Osnabrück dalam perlawanan DFB-Pokal baru-baru ini ketika kelab itu mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas pasukan divisyen dua tersebut.
Walaupun baru sahaja melalui tempoh berehat panjang, Kompany kekal optimis mengenai masa depan pemain tengah menyerang itu dan percaya Musiala semakin hampir untuk kembali beraksi di pentas kompetitif.
Meskipun Musiala menunjukkan perkembangan positif, Kompany tidak mahu tergesa-gesa menurunkan bintang muda itu sebelum dia benar-benar bersedia, tetapi tidak menolak kemungkinan dia mungkin disenaraikan untuk aksi menentang Schalke.
“Saya tidak mahu memberikan sebarang tekanan tambahan kepadanya. Dia hanya akan diturunkan ketika dia benar-benar bersedia,” katanya.
Pemain berbakat tersebut tidak beraksi untuk pasukan kendalian Kompany sejak dia rebah di atas padang dalam dua perlawanan pramusim yang berbeza dan Musiala sendiri sebelum ini berkongsi bahawa dia kini mengalami masalah sawan yang boleh dirawat. – AGENSI
The post Bundesliga: Kompany sedia senaraikan Musiala appeared first on Kosmo Digital.



