Bung Moktar: Kukuhkan Umno di Sabah sebelum fikirkan kerjasama pada PRN

Politics
10 Jan 2024 • 4:05 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KOTA KINABALU: Umno Sabah pada masa ini mahu meletakkan fokus untuk memperkukuh parti itu di semua peringkat di negeri ini, sebelum memikirkan mengenai kerjasama dengan parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) berkata sememangnya ada parti yang berhasrat untuk berkerjasama, namun ia hanya akan diputuskan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bubar nanti.

“Setakat ini belum muktamad untuk kerjasama dengan mana-mana parti hadapi PRN Sabah. Kita bagi keutamaan terlebih dahulu soal kekuatan parti, dan Umno Sabah akan mengadakan siri jelajah ke seluruh bahagian di negeri ini bermula awal Februari ini.

“Melalui siri jelajah itu kita akan memantau dan melihat sendiri kekuatan parti di samping menjelaskan isu-isu semasa kepada ahli di peringkat akar umbi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Isnin lepas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga Presiden Umno dilaporkan berkata rakan kerjasama BN dan Umno pada PRN Sabah akan ditentukan selepas DUN Sabah bubar.

Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama bersama parti gabungan yang lain bersandarkan kepada prinsip menghormati perjanjian satu sama lain yang bukan sahaja memberikan manfaat kepada parti tetapi juga rakyat Sabah secara keseluruhanya.

“Kita banyak belajar dari proses gabungan (parti) sebelum ini jadi perkara ini turut mematangkan Umno Sabah untuk mengambil sebarang keputusan yang penting. Sekarang Umno Sabah perlu diperkuatkan,” katanya. -Bernama