KUALA LUMPUR - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi.
Allahyarham berusia 66 tahun.
Kematian Allahyarham disahkan oleh isterinya, Datin Seri Zizie Izette.
Zizie yang juga seorang pelakon memuat naik poster ucapan takziah menerusi Insta Story sekitar 2.30 pagi tadi.
Terdahulu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag dilaporkan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Sabah akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru.

Perkara itu disahkan Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin yang berkata, Bung berada dalam keadaan kritikal.
“Kedua-dua buah pinggang mengalami kegagalan dan paru-paru dijangkiti dengan teruk.
"Mohon doakan agar segala urusan dipermudahkan," katanya, seperti dilaporkan Sinar Harian.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham yang dilahirkan pada 14 September 1959 di Kinabatangan sering menjadi perhatian, susulan kelantangannya di pentas politik.
Tidak gentar berdebat atau berdepan dengan sesiapa sahaja, Bung juga sering menjadi sasaran kritikan dek beberapa kenyataan kontroversi dibuat terhadap beberapa ahli politik pembangkang.
Getaran mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga rohnya dicucuri rahmat dan dihimpunkan bersama mereka yang beriman. - Getaran, 5 Disember 2025

