
Resorts World Awana bakal menjadi tumpuan pencinta bunga dan alam semula jadi apabila menganjurkan BUNGA 2026, festival orkid dan florikultur antarabangsa pertama yang akan berlangsung dari 3 hingga 7 Jun 2026 di Awana Village, Genting Highlands.
Menariknya, acara ini turut diangkat sebagai pameran bunga tertinggi di Malaysia dengan latar suasana tanah tinggi yang nyaman, sekali gus menawarkan pengalaman berbeza buat pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Festival selama lima hari itu bakal menghimpunkan persatuan orkid, penanam, pakar hibrid serta pengumpul dari seluruh Asia dalam satu sambutan yang meraikan seni, budaya dan keindahan flora.
Antara negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam, Taiwan, Indonesia dan Brunei menerusi pameran serta pertandingan orkid antarabangsa.
Pengunjung berpeluang melihat spesies orkid eksklusif, koleksi hibrid istimewa dan landskap floral artistik yang diinspirasikan daripada dunia botani.
Festival ini turut menampilkan penyertaan beberapa nama besar dalam industri orkid Asia seperti Taipei Orchid Society dari Taiwan yang terkenal dengan orkid Phalaenopsis, selain Chulee Orchid dari Thailand yang diterajui pakar hibrid terkenal, Ms Chulee.
Singapura pula diwakili The Orchid Society of South East Asia (OSSEA), antara persatuan orkid paling berprestij di rantau ini.
Bukan sekadar pameran bunga, BUNGA 2026 juga menawarkan pengalaman gaya hidup dan ekopelancongan yang lebih menyeluruh.
Pengunjung boleh menikmati pengalaman imersif Bloom Beyond BUNGA di Eufloria Gardens & Sculpture Park, selain menyertai Wild Orchid Explorer iaitu aktiviti penerokaan hutan hujan untuk melihat orkid liar di habitat semula jadi.
Bagi mereka yang gemarkan pengalaman lebih eksklusif, Orchadia pula menawarkan konsep hospitaliti botani premium menerusi sajian berinspirasikan orkid, bengkel floral, minum petang botani dan Rare Orchid Auction sepanjang festival berlangsung.
Harga tiket masuk ditawarkan pada RM30, manakala pakej gabungan bersama Eufloria berharga RM60.
Menariknya, setiap tiket turut didatangkan dengan kredit makanan RM10 yang boleh ditebus sepanjang acara berlangsung.
Bagi pengunjung yang ingin menikmati festival ini lebih lama, pakej ‘Bunga Bloomscape Staycation’ turut disediakan dengan kadar penginapan bermula serendah RM81 semalam di beberapa hotel terpilih sekitar Resorts World Genting.
Penganjuran BUNGA 2026 juga dilihat sebagai langkah awal menuju Asia Pacific Orchid Conference (APOC) 2028 yang bakal berlangsung di Resorts World Awana, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan botani dan hortikultur di rantau Asia. - Getaran, 16 Mei 2026




