Piala Sultan Pahang 2026 cungkil bakal baharu golf, promosi sukan pelancongan Pahang

7 May 2026 • 3:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Piala Sultan Pahang 2026 cungkil bakal baharu golf, promosi sukan pelancongan Pahang
Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2026 kembali.
Image from: Piala Sultan Pahang 2026 cungkil bakal baharu golf, promosi sukan pelancongan Pahang
Tengku Muhammad Iskandar turut membuat pukulan 'tee off' di Resorts World Awana pada Khamis.
Image from: Piala Sultan Pahang 2026 cungkil bakal baharu golf, promosi sukan pelancongan Pahang
Tengku Muhammad Iskandar (tengah) bergambar kenangan dengan Shafik (tiga dari kanan) selepas menyerahkan cenderamata kepada wakil-wakil kelab golf pada Majlis Perlancaran Rasmi Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2026 di Resorts World Awana pada Khamis.

GENTING HIGHLANDS - Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2026 kembali mewarnai pentas golf dengan menjanjikan saingan elit mendebarkan dalam usaha memperkukuh pembangunan golf amatur di negeri ini menerusi empat siri kejohanan di lapangan golf terkemuka Pahang.

Kejohanan berprestij di bawah naungan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu akan membuka tirainya di Villea Rompin Golf Resort pada 27 Jun depan sebelum berakhir di Resorts World Awana menerusi Grand Finale pada 5 September.

Pengerusi Kejohanan Piala Sultan Pahang 2026, Datuk Seri Shafik Fauzan berkata, penganjuran edisi kedua itu dilaksanakan ahli jawatankuasa dilantik dengan kerjasama Majlis Sukan Pahang dan kerajaan negeri Pahang selepas kejayaan edisi sulung tahun lalu.

Menurutnya, kejohanan tersebut bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat baharu sukan golf, malah turut membantu mempromosikan sukan pelancongan dan semangat persaudaraan dalam kalangan pemain golf di Pahang.

"Tuanku Sultan Pahang amat serius melihat perkembangan sukan golf di negeri ini, bukan sahaja dari sudut pembangunan pemain tetapi juga aspek pengurusan dan penyelenggaraan lapangan golf.

"Selain itu, kejohanan ini turut mempunyai elemen pelancongan yang boleh dikembangkan dan dimajukan lagi, contohnya makanan dan perhotelan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perlancaran Rasmi Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2026 di Resorts World Awana, di sini pada Khamis.

**media[3513461]**

Sebelum itu, majlis pelancaran kejohanan tersebut disempurnakan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

Empat lokasi dipilih bagi kejohanan kali ini iaitu Villea Rompin Golf Resort pada 27 Jun, Royal Pekan Golf Club pada 25 Julai, Royal Pahang Golf Club di Kuantan pada 29 Ogos dan grand finale di Resorts World Awana, Genting pada 5 September depan.

Kejohanan itu menawarkan kategori terbaik (Gross), terbaik Medal A & B (Nett) serta wanita dengan penyertaan dibuka kepada pemain amatur yang memiliki indeks handicap WHS sah.

Hadiah menarik, piala dan barangan lebih RM150,000 disediakan termasuk Piala Cabaran Sultan Pahang yang berprestij.

Shafik menambah, penyertaan terhad kepada kira-kira 100 pemain lelaki serta 50 pemain wanita untuk kesemua siri lokasi padang golf itu.

"Yuran penyertaan ditetapkan RM3,000 bagi lelaki dan RM1,500 untuk wanita," ujarnya lagi.

**media[3513459]**

Dalam perkembangan sama, kongsinya, sambutan diterima amat menggalakkan apabila jumlah pendaftaran awal sudah melebihi kuota ditetapkan.

"Piala Sultan Pahang bukan sekadar pertandingan, tetapi sukan berdisplin, ketepatan dan semangat kesukanan.

"Sirkit 2026 ini menjanjikan kelas lebih tinggi dan penyertaan pemain golf tempatan serta mempromosikan lapangan Kelab golf di negeri Pahang sebagai destinasi pelancongan golf," tambah beliau.

Kejohanan Golf Sirkit Piala Sultan Pahang 2026 dianjurkan sempena ulang tahun keputeraan ke-67 Sultan Pahang dan dijangka menjadi antara acara golf amatur paling berprestij di negeri itu tahun ini.

Untuk maklumat lanjut, sila ikuti platform media rasmi di Facebook: @PSP2026.