GENTING HIGHLANDS – Resorts World Awana bakal menjadi tumpuan penggiat orkid dan florikultur dari seluruh Asia menerusi penganjuran BUNGA 2026, pameran bunga tertinggi di Malaysia yang berlangsung di Awana Village, T2 Exhibition Hall dari 3 hingga 7 Jun depan.
Acara itu menghimpunkan penyertaan persatuan orkid, penanam, pakar hibrid serta pengumpul dari tujuh negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam, Taiwan, Indonesia dan Brunei, sekali gus menjadikannya antara perhimpunan florikultur antarabangsa yang signifikan di rantau ini.
Menerusi kenyataan pada Selasa Resorts World Awana memaklumkan, berlatarbelakangkan suasana nyaman tanah tinggi Resorts World Awana selama lima hari, penganjuran BUNGA 2026 merupakan sebahagian daripada siri acara pembuka tirai menjelang Persidangan Orkid Asia Pasifik (APOC) 2028.
Menurut kenyataan itu, inisiatif itu secara tidak langsung memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan botani serta pertukaran hortikultur di peringkat antarabangsa.
“Kemuncak kepada siri ini ialah penganjuran Persidangan Orkid Asia Pasifik (APOC) 2028 yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 26 Mac 2028 di lokasi sama.
“Ia sekali gus mencipta sejarah sebagai edisi pertama APOC yang dianjurkan oleh sebuah syarikat korporat swasta,” katanya.
**media[3525759]**
Menurut kenyataan tersebut, BUNGA 2026 akan menampilkan pameran dan pertandingan orkid antarabangsa yang menghimpunkan pelbagai spesies eksklusif, koleksi hibrid istimewa dan persembahan landskap berinspirasikan botani.
Katanya, antara persatuan utama yang mengesahkan penyertaan ialah Taipei Orchid Society dari Taiwan yang terkenal dengan orkid Phalaenopsis serta The Orchid Society of South East Asia (OSSEA) dari Singapura.
“Turut mengambil bahagian ialah Chulee Orchid dari Thailand yang diterajui pakar hibrid tersohor, Ms. Chulee, pengumpul orkid Vietnam, Nguyen Anh Tuan serta Orchid Society of Selangor & Federal Territory.
“Indonesia Orchid Community dan Federation of Malaya Orchid Society turut menyertai pameran berkenaan. Malah, Brunei diwakili Jasmina Florist & Landscaping Co,” menurut kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu memaklumkan BUNGA 2026 turut menampilkan kehadiran Encik Home dari Thailand yang diiktiraf di peringkat antarabangsa menerusi kepakaran dalam tumbuhan eksotik dan perdagangan global.
Jelasnya, pengunjung turut berpeluang menikmati pengalaman interaktif melalui aktiviti Wild Orchid Explorer yang dikendalikan oleh Genting Nature Adventures (GNA).
“Aktiviti itu membawa peserta menyusuri laluan hutan hujan tanah tinggi yang terpelihara bagi mencari orkid liar dalam habitat semula jadinya.
“Turut disediakan ruang komuniti Orchadia yang memperkenalkan pengalaman gaya hidup botani premium, termasuk hospitaliti berkonsepkan tumbuhan, sajian berinspirasikan orkid, kelas induk serta Rare Orchid Auction,” jelas kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai pengalaman lain seperti Bloom Beyond BUNGA di Eufloria Gardens dan Sculpture Park serta Forest for the Future: Orchid Stories by GNA yang mengetengahkan elemen pendidikan berkaitan pemuliharaan orkid dan biodiversiti.
Tiket masuk ke festival ditawarkan pada harga RM30, manakala pakej gabungan BUNGA 2026 dan Eufloria berharga RM60.
Warga emas pula menikmati kadar khas RM20 bagi pembelian secara terus (walk-in), dengan semua tiket termasuk kredit makanan bernilai RM10 yang boleh ditebus sepanjang festival berlangsung.
Selain itu, pihak pengurusan turut menawarkan pakej Bunga Bloomscape Staycation di hotel terpilih sekitar resort bermula serendah RM81 semalam, melibatkan Resorts World Awana, First World Hotel, Genting SkyWorlds Hotel dan Highlands Hotel.
Maklumat lanjut mengenai penganjuran serta pembelian tiket boleh didapati menerusi laman web rasmi rwgenting.com.


