KUALA NERUS – Sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka dimasuki bunga api sebelum meletup di bahagian cermin hadapan dalam kejadian di kawasan Jambatan Angkat di sini, Jumaat lalu.
Dalam insiden kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, Rashidi Ihshak, 38, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Seberang Takir bersama isteri, Fatin Diyana Idris, 36, serta empat orang anak mereka yang berusia antara 18 bulan hingga sembilan tahun.
Rashidi berkata, ketika kejadian dia memandu dalam keadaan santai dengan tingkap terbuka sebelum tiba-tiba satu percikan bunga api memasuki keretanya lalu terkena pada tangan kirinya.
"Saya bersyukur sangat, kalau bunga api itu tidak terkena tangan saya, mungkin dah melantun kena ke arah muka bayi perempuan saya yang duduk di pangkuan isteri di kerusi penumpang hadapan.
"Bunga api tu meletup lepas terkena cermin depan sebelum cermin tu pecah.
"Dalam keadaan cemas tu saya segera berhenti kereta untuk periksa keadaan tiga lagi anak di tempat duduk belakang," katanya menceritakan semula detik kejadian.
Menurutnya, dia tidak dapat memastikan individu yang bertanggungjawab memandangkan kawasan sekitar Jambatan Angkat terlalu sesak dengan orang ramai yang bermain bunga api pada malam ambang Aidilfitri tersebut.
Walaupun mengalami luka kecil di tangan dan kerugian akibat kerosakan cermin kereta, Rashidi berkata, dia berasa lega kerana tiada ahli keluarganya yang mengalami kecederaan serius.
"Kejadian berlaku terlalu pantas. Saya sangat kesal dengan tindakan segelintir individu yang menjadikan bahu jalan sebagai tempat bermain bunga api kerana ia sangat berbahaya dan tidak terkawal.
"Saya tidak berhasrat untuk membuat laporan polis, cuma saya harap agar kejadian ni jadi iktibar kepada orang ramai supaya lebih sensitif dan memilih lokasi yang selamat untuk bermain bunga api tanpa membahayakan nyawa orang lain," ujarnya.
