
Hanya kerana menyambut kekalahan pasukan bola sepak negara dalam Piala Dunia Qatar 2022, seorang warga Iran ditembak mati oleh pasukan keselamatan negara itu.

The Guardian melaporkan, menurut kumpulan hak asasi manusia Iran (IHR) yang berpangkalan di Norway, mangsa, Mehran Samak, 27, ditembak di kepala selepas membunyikan hon keretanya di Bandar Anzali, barat laut Tehran semasa meraikan kekalahan Iran kepada pasukan Amerika Syarikat malam Selasa lalu.
Untuk pengetahuan, pasukan bola sepak Iran telah tewas 0-1 kepada pasukan Amerika Syarikat di pentas Piala Dunia Qatar 2022 baru-baru ini.

Difahamkan, Mehran bukanlah satu-satunya individu yang meraikan kekalahan negara terbabit dalam piala dunia baru-baru ini kerana beberapa sambutan lain turut dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di sekitar Iran.
Tidak cukup dengan itu, di laman sosial Twitter juga, beberapa warga Iran termasuklah golongan dikenali turut menyuarakan rasa gembira mereka dengan kekalahan pasukan bola sepak negara itu yang dianggap mewakili rejim yang menindas dan bukannya pihak yang ditindas.

Dalam pada itu, majlis pengebumian Mesran telah dihadiri orang ramai sambil slogan ‘mati kepada diktator’ dilaungkan.
Walau bagaimanapun, polis Iran dalam satu kenyataannya menafikan kematian Mesran ada kena mengena dengan pihak berkuasa negara itu.
“Susulan perlawanan bola sepak antara pasukan kebangsaan kami dan Amerika Syarikat, beberapa perusuh antikerajaan telah berkumpul. Berdasarkan bukti yang sedia ada, mangsa tidak ditembak di kepala oleh pihak berkuasa seperti yang didakwa. Mangsa juga didapati telah ditembak dengan menggunakan senapang memburu,” katanya.
Sumber: The Guardian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


