liza30/07/2026 - 15:48 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai – Bursa Malaysia Berhad menaikkan sasaran permodalan pasaran bagi tawaran awam permulaan (IPO) untuk tahun 2026 kepada RM34 bilion daripada RM28 bilion sebelum ini susulan prestasi memberangsangkan pasaran modal pada separuh pertama tahun ini.
Sasaran baharu itu dibuat selepas Bursa Malaysia mencatat momentum kukuh dalam aktiviti pengumpulan dana dan penyenaraian syarikat baharu yang mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pasaran IPO di rantau ASEAN dari segi jumlah penyenaraian dan dana yang berjaya dikumpulkan.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, Bursa Malaysia merekodkan keuntungan selepas cukai, zakat dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM144.6 juta, meningkat 15.2% berbanding RM125.5 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Hasil operasi pula meningkat 19.6% tahun ke tahun kepada RM411.7 juta berbanding RM344.2 juta sebelumnya, disokong oleh peningkatan aktiviti dagangan sekuriti serta hasil berkaitan penyenaraian yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, perbelanjaan operasi meningkat 21% kepada RM229 juta, disebabkan peningkatan kos kakitangan dan bayaran berkaitan kawal selia, selain pelaburan berterusan dalam pembangunan keupayaan tenaga kerja serta infrastruktur pasaran.
Pasaran Sekuriti Terus Rancak
Dalam pasaran sekuriti, nilai dagangan harian purata (ADV) pasaran utama (OMT) meningkat 35% tahun ke tahun kepada RM3.3 bilion, mencerminkan penyertaan pelabur yang kekal aktif sepanjang separuh pertama tahun ini.
Pasaran IPO turut mencatat prestasi kukuh apabila Bursa Malaysia merekodkan 36 penyenaraian merentasi Pasaran Utama, ACE dan LEAP, dengan jumlah kutipan dana sebanyak RM5.4 bilion serta menyumbang RM26.1 bilion kepada permodalan pasaran.
Prestasi berkenaan meletakkan Bursa Malaysia sebagai peneraju ASEAN dari segi jumlah IPO dan dana yang berjaya dikumpulkan yang mengukuhkan kedudukannya sebagai platform utama bagi syarikat mendapatkan modal untuk pertumbuhan perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, prestasi separuh pertama tahun ini menunjukkan keyakinan berterusan terhadap pasaran modal Malaysia, didorong aktiviti dagangan yang kukuh serta momentum kutipan dana yang sihat.
Menurut beliau, Bursa Malaysia akan terus memberi tumpuan memperkukuh kualiti pasaran, meluaskan akses pelabur serta meningkatkan hubungan pasaran bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Pasaran Derivatif Dan Islam Kekal Menunjukkan Pertumbuhan Positif
Pasaran derivatif turut mencatat peningkatan apabila jumlah kontrak harian purata (ADC) meningkat 9.9% kepada 106,518 kontrak, dipacu terutamanya oleh peningkatan aktiviti dagangan niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) yang menyumbang 84% daripada keseluruhan jumlah kontrak.
Sesi dagangan selepas waktu pasaran (T+1) juga menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah kontrak harian purata meningkat 18.9% kepada 16,801 kontrak, mewakili 15.8% daripada keseluruhan aktiviti pasaran.
Dalam segmen pasaran Islam, Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) merekodkan nilai dagangan harian purata sebanyak RM49.5 bilion, disokong peningkatan penyertaan domestik, manakala 81% daripada keseluruhan sekuriti tersenarai di Bursa Malaysia kini mematuhi prinsip Syariah.
Bursa Gold Dinar turut mengekalkan momentum pertumbuhan dengan nilai transaksi meningkat 178.1% tahun ke tahun kepada RM200.5 juta, mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap instrumen pelaburan berasaskan emas.
Hasil Bukan Dagangan Meningkat, Bursa Malaysia Kekal Optimis Bagi Separuh Kedua 2026
Selain aktiviti dagangan, hasil bukan dagangan Bursa Malaysia meningkat 17.6% tahun ke tahun dan menyumbang 37.3% daripada keseluruhan hasil operasi, dipacu terutamanya oleh peningkatan yuran penyenaraian serta perkhidmatan penerbit yang melonjak 64.1% susulan semakan struktur yuran penyenaraian.
Fad’l berkata, walaupun perkembangan geopolitik dan ketidaktentuan pasaran global perlu diberi perhatian, asas ekonomi Malaysia kekal menyokong pertumbuhan pasaran modal dengan permintaan domestik yang berterusan serta perkembangan sektor teknologi.
Beliau yakin aktiviti IPO pada separuh kedua 2026 akan kekal positif, disokong saluran IPO yang sihat serta minat berterusan syarikat untuk mendapatkan modal pertumbuhan melalui pasaran awam.
Dalam tempoh suku kedua 2026, Bursa Malaysia turut meneruskan beberapa inisiatif pembangunan pasaran termasuk Program MY Value Up dan panduan berkaitan bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, selain memperkukuh hubungan serantau menerusi kerjasama dengan Hong Kong Exchanges and Clearing Limited.
Lembaga Pengarah Bursa Malaysia turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 16.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, berjumlah kira-kira RM133.5 juta dengan nisbah pembayaran dividen sebanyak 92%.
Tarikh kelayakan dividen ditetapkan pada 19 Ogos 2026, manakala pembayaran akan dibuat pada 27 Ogos 2026. - DagangNews.com






