Untung bersih Bursa Malaysia melonjak 25.6% pada suku kedua

Business & Finance
30 Jul 2026 • 4:36 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Untung bersih Bursa Malaysia melonjak 25.6% pada suku kedua

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai, zakat dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM71.7 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 25.6 peratus berbanding RM57.1 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Prestasi lebih kukuh itu disokong oleh aktiviti dagangan sekuriti yang rancak, momentum pengumpulan dana yang berterusan serta pelaksanaan keutamaan strategik Bursa Malaysia.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2026, Bursa Malaysia merekodkan PATAMI sebanyak RM144.6 juta, meningkat 15.2 peratus berbanding RM125.5 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Dalam tempoh enam bulan itu, hasil operasi meningkat 19.6 peratus kepada RM411.7 juta, didorong terutamanya oleh peningkatan aktiviti dagangan sekuriti manakala perbelanjaan operasi pula meningkat 21 peratus kepada RM229 juta, terutama akibat kos kakitangan dan fi kawal selia yang lebih tinggi.

Sejajar dengan prestasi kukuh pasaran tawaran awam permulaan (IPO) serta saluran penyenaraian yang mantap, Bursa Malaysia turut menyemak naik salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) bagi 2026 dengan meningkatkan sasaran permodalan pasaran IPO daripada RM28 bilion kepada RM34 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, prestasi suku kedua dan separuh pertama tahun ini mencerminkan daya tahan pasaran modal Malaysia yang terus disokong oleh aktiviti dagangan yang kukuh, momentum pengumpulan dana yang sihat serta keyakinan pelabur.

Katanya, Bursa Malaysia mendahului ASEAN dari segi jumlah IPO dan dana yang berjaya dikumpulkan dalam tempoh tersebut, dengan 36 IPO berjaya mengumpul RM5.4 bilion, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai platform utama syarikat mendapatkan modal pertumbuhan.

“Walaupun perkembangan geopolitik dan ketidaktentuan pasaran global terus memerlukan pemantauan rapi, asas ekonomi Malaysia kekal menyokong.

“Prospek pertumbuhan Malaysia bagi 2026, didorong permintaan domestik yang berterusan serta perkembangan sektor teknologi, menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pembentukan modal dan aktiviti pelaburan.

“Kami yakin terhadap prospek aktiviti IPO pada separuh kedua tahun ini, disokong oleh saluran penyenaraian yang sihat serta minat berterusan syarikat untuk mendapatkan modal pertumbuhan melalui pasaran awam,” katanya.

Tambahnya Bursa Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kualiti pasaran, memperluas akses pelabur dan meningkatkan keterhubungan pasaran bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.

Sementara itu, lembaga pengarah Bursa Malaysia mengisytiharkan dividen interim sebanyak 16.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, membabitkan pembayaran kira-kira RM133.5 juta, bersamaan nisbah pembayaran dividen sebanyak 92 peratus.

Tarikh kelayakan dividen ditetapkan pada 19 Ogos 2026, manakala pembayaran akan dibuat pada 27 Ogos 2026. – UTUSAN

The post Untung bersih Bursa Malaysia melonjak 25.6% pada suku kedua appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved