Bursa Malaysia semak semula Sekuriti Diluluskan, permodalan pasaran harian dikurangkan kepada RM200 juta

Business & Finance
12 Jun 2023 • 5:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

image is not available
Datuk Muhamad Umar Swift

Bursa Malaysia semak semula Sekuriti Diluluskan, permodalan pasaran harian dikurangkan kepada RM200 juta

diyana

12/06/2023 - 17:30

KUALA LUMPUR 12 Jun - Bursa Malaysia Berhad telah memperluaskan kriteria Sekuriti Diluluskan dengan mengurangkan keperluan permodalan pasaran harian daripada RM500 juta kepada RM200 juta, berkuat kuasa hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, Bursa Malaysia berkata semakan semula kriteria itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusannya dalam memupuk pasaran saham yang dinamik dan bertenaga, dengan menawarkan pilihan meluas untuk Sekuriti Diluluskan agar memenuhi keperluan pelabur yang semakin berkembang.

Sekuriti Diluluskan adalah sekuriti yang telah memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Bursa dan boleh digunakan untuk tujuan pinjaman dan peminjaman sekuriti (SBL), dan jualan singkat.

Pengembangan kriteria Sekuriti Diluluskan akan memberikan keupayaan lebih besar kepada pelabur untuk mengurus portfolio mereka dan meningkatkan kerancakan dalam aktiviti SBL, iaitu komponen penting dalam pasaran modal yang berfungsi dengan baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata kumpulan itu mengukuhkan komitmen untuk mempertingkatkan kecekapan pasaran dengan meluaskan akses dan pilihan untuk pelabur.

image is not available
Datuk Muhamad Umar Swift

“Sebagai pasaran yang semakin matang, adalah penting untuk kami menawarkan pasaran dengan kemudahan yang teguh untuk memenuhi keperluan berbeza pelabur, sambil kekal fokus untuk memastikan pasaran cergas, adil dan teratur,” ujar beliau.

Apabila mengemas kini senarai Sekuriti Diluluskan, pemilihan berhati-hati dibuat berdasarkan kedua-dua kriteria kuantitatif dan kualitatif bagi memastikan kecairan mencukupi dan integriti pasaran dikekalkan.

Senarai Sekuriti Diluluskan boleh didapati di laman web Bursa Malaysia dan disemak semula kira-kira setiap enam bulan. -DagangNews.com