DXN mula dagangan dengan perlahan di Bursa Malaysia
diyana
19/05/2023 - 11:02
KUALA LUMPUR 19 Mei - Syarikat jualan langsung produk berorientasikan kesihatan dan kesejahteraan, DXN Holdings Bhd bermula perlahan dengan kemunculan semula di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Saham DXN dibuka dengan dagangannya menyusut satu sen atau 1.43% lebih rendah daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 69 sen.
Pada 11:00 pagi, saham itu turun 5.5 sen kepada 64.5 sen, dan merupakan kaunter paling aktif diniagakan.
Syarikat itu telah mengumumkan pendapatan terkini pada hari Rabu dengan keuntungan selepas cukai FY23 sebanyak RM289.3 juta, iaitu 17.9% lebih tinggi berbanding tahun kewangan sebelumnya, manakala pendapatan melonjak 28.8% kepada RM1.6 bilion dalam tempoh yang sama.
"Kewangan kami telah didorong oleh permintaan yang kukuh untuk makanan dan minuman kami yang diperkaya, khususnya produk kopi kami, oleh ahli kami di seluruh dunia.
"Melihat ke hadapan, kami yakin akan dapat mengekalkan momentum di samping mengembangkan penawaran produk dan meluaskan kehadiran kami dalam pasaran sedia ada dan baharu," kata Pengerusi Eksekutif Bukan Bebas dan Pengasas, Datuk Lim Siow Jin dalam satu kenyataan.
Syarikat itu telah memperoleh RM112 juta daripada IPO, yang mana RM80 juta akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan RM17.5 juta akan digunakan untuk keperluan modal kerja, terutamanya untuk pembelian bahan mentah utama. -DagangNews.com




