Buruh cabul 5 wanita di LRT, MRT dijel enam bulan, denda RM15,100

LocalPolitics
6 May 2026 • 5:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Buruh cabul 5 wanita di LRT, MRT dijel enam bulan, denda RM15,100
Md Romjan dipenjara enam bulan dan didenda RM15,100 oleh empat Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah mencabul lima wanita di kawasan stesen LRT dan MRT di sekitar ibu kota, bulan lepas. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perbuatan jijik seorang buruh warga Bangladesh melampiaskan nafsu dengan mencabul lima wanita di tiga stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) di ibu kota, menerima pembalasan apabila dia dipenjara enam bulan dan denda RM15,100 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Md Romjan Ali, 41, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibaca di empat mahkamah berasingan, di hadapan Majistret, Aina Azahra Arifin, Faezahnoor Hasan, Nurul Izzah Hasan Basri dan Farah Nabihah Muhamad Dan.

Aina Azahra dan Faezahnoor memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap, 27 April manakala Nuzul Izzah mengarahkan hukuman bermula Rabu.

Tertuduh akan dipenjara 16 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut semua pertuduhan, Md Romjan didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan lima wanita berusia antara 21 dan 28 tahun, iaitu seorang warga Jerman dan empat lagi warga tempatan.

Kesalahan didakwa dilakukan di laluan pejalan kaki stesen LRT Chan Sow Lin, kawasan stesen MRT Maluri dan dalam tren dari stesen MRT Taman Midah ke Muzium Negara antara 10 dan 25 April lalu.

Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam, T Chandrasegaran yang mewakili tertuduh, merayu anak guam dikenakan denda yang minimum kerana insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

“Sebelum ini, dia bekerja di tapak pembinaan dan menanggung keluarganya di negara asal,” katanya yang menambah tertuduh telah direman hampir seminggu, sebelum ini.

Sementara itu, pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh, Nurainizatul Farhana Zainal dan Nur Farhana Mohamad Poad serta Pegawai Pendakwa, Inspektor M Alli Nangai dan Inspektor M Naresh Kumar mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Mereka berkata, mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.