
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai terlibat mencabul lima wanita di beberapa stesen MRT dan LRT sekitar ibu negara sejak April lalu telah ditahan dan didakwa di mahkamah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan pada 27 April kira-kira pukul 11.45 pagi di kawasan Stesen MRT Maluri.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai terlibat dalam lima kejadian cabul melibatkan mangsa wanita berusia antara 21 hingga 28 tahun.
“Kesalahan itu dipercayai dilakukan di Stesen LRT Chan Sow Lin, Stesen MRT Maluri Cheras dan Stesen MRT Taman Midah.
“Suspek telah didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa,” katanya hari ini.
Tambahnya, suspek berdepan lima pertuduhan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan serangan tidak senonoh.
Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut. – Getaran, 6 Mei 2026






