Buruh etnik Rohingya didakwa bunuh rakan

14 Oct 2026 • 2:02 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Buruh etnik Rohingya didakwa bunuh rakan

KOTA BHARU – Seorang buruh etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya di Kampung Pok Boh di sini pada bulan lalu.

Tertuduh, Abdul Shukor, 31, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Myanmar di hadapan Majistret R. Vinoshen.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Myanmar itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Mohammed Tuasin, 18.

Perbuatan itu dilakukan di bangsal kayu berhadapan Tanah Perkuburan Islam Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh di sini kira-kira pukul 4.20 petang hingga 9.38 malam pada 18 September 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes dan serahan beberapa laporan daripada pakar bedah siasat.

Terdahulu, Abdul Shukor sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada 1 Oktober lalu, namun prosiding pendakwaan kes tersebut terpaksa ditangguhkan selepas tertuduh tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang remaja etnik Rohingya maut selepas dipercayai dibunuh dengan objek tajam di sebuah rumah kongsi berhampiran tanah perkuburan Islam dekat Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh di sini pada 18 September lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 18 tahun ditemukan meninggal dunia di kawasan berkenaan selepas mengalami kecederaan luka hiris dan tetakan pada leher.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, suspek mendakwa dia mendapat arahan tuhan sebelum bertindak menetak mangsa yang juga merupakan rakan sekerjanya di rumah kongsi tersebut.

“Suspek mengatakan dia mendapat arahan tuhan untuk membunuh mangsa. Setakat ini, kita nampak dia seperti berhalusinasi, namun segala masalah yang dihadapi mangsa akan disahkan oleh pakar atau doktor.

“Siasatan awal mendapati, suspek menetak remaja itu ketika sedang berada di rumah kongsi tersebut. Tiada sebarang pergelutan atau pergaduhan berlaku antara suspek dan mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Buruh etnik Rohingya didakwa bunuh rakan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved