
KUALA LUMPUR – Pemandu kereta jenis BYD Seal yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan di Jalan Kuching di sini pada Sabtu lalu akan didakwa atas tiga pertuduhan esok.
Pemandu berusia 24 tahun itu yang menerima rawatan di sebuah hospital di Damansara ditahan pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Lelaki itu kemudian dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 12.30 tengah hari selepas dibenarkan keluar hospital.
Kertas siasatan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan pada pukul 3 petang tadi sebelum pihak pendakwaan bersetuju supaya pemandu kereta tersebut dituduh di mahkamah.
Lelaki itu dijangka berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 41(1), Seksyen 42(2) dan Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pendakwaan ke atas suspek akan dijalankan di Mahkamah Majistret 13 (Trafik), Kompleks Mahkamah Jalan Jalan Duta, di sini pada pukul 9 pagi esok.
Bagaimanapun, butiran lanjut berhubung kes tersebut belum diperincikan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis sedang melengkapkan siasatan kemalangan melibatkan enam kenderaan di Jalan Kuching, Sabtu lalu yang mengorbankan kanak-kanak perempuan, Asiah Ahmad Syahir, 5.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, pemandu BYD Seal sebelum ini menerima rawatan di sebuah hospital swasta. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu BYD didakwa esok, hadapi 3 tuduhan bawah Akta Pengangkutan Jalan appeared first on Kosmo Online.





