Buruh ladang dipenjara 13 tahun sebab kematian jiran

1 Oct 2026 • 3:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Buruh ladang dipenjara 13 tahun sebab kematian jiran

TAWAU: Seorang buruh ladang mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian jirannya, dua tahun lalu.

Yohanes Kopong Jawan, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada enam anak itu didakwa menyebabkan kematian Martin Sili, 33, di sebuah rumah tidak bernombor, di Kampung Cina Ranggu, di sini, antara pukul 7.30 malam 31 Ogos 2024 hingga tengah hari 1 September 2024.

Tertuduh sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kemudian digantikan dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku ketika anak perempuan tertuduh berusia 12 tahun memberitahu isterinya bahawa simati merogolnya di kawasan semak semasa dalam perjalanan pulang ke rumah.

Tertuduh yang mengetahui kejadian kemudian berang lalu bertindak mengambil sebilah parang dan mengejar simati sebelum melibasnya beberapa kali kerana tidak mengaku merogol anaknya.

Anak tertuduh kemudian dibawa ke Hospital Tawau bagi mendapatkan rawatan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat koyakan baharu di bahagian sulitnya.

Pemeriksaan turut mendapati terdapat Deoxyribonucleic Acid (DNA) simati ditemukan pada kuku anak tertuduh dan air mani dijumpai di seluar dalam sepadan dengan milik simati.

Terdahulu, peguam tertuduh, Jhasarry P Kang, dalam rayuan mitigasinya memohon mahkamah mengambil kira bahawa tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah, memberi kerjasama sepanjang prosiding, pencari nafkah utama yang perlu menyara enam anak dan isteri.

Peguam juga memberitahu bahawa pembunuhan itu bukan dirancang, sebaliknya berlaku secara tiba-tiba dalam suasana penuh emosi selepas timbul dakwaan membabitkan anak perempuanya berusia 12 tahun dirogol oleh jirannya (simati).

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif bagaimanapun memohon hukuman berat dikenakan supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai kerana kejadian itu sangat kejam dan mengerikan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 13 tahun penjara dan memerintahkan hukuman dikira dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 2 September 2024.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen (JIM) selepas selesai menjalani hukuman penjara. – UTUSAN

The post Buruh ladang dipenjara 13 tahun sebab kematian jiran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved