Buruh maut dihempap lori dipandu remaja tiada lesen

22 Jul 2026 • 9:50 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Buruh maut dihempap lori dipandu remaja tiada lesen

SHAH ALAM, 22 JULAI: Seorang buruh ladang warga Indonesia maut selepas motosikal ditunggangnya dihempap lori dipandu remaja lelaki berusia 15 tahun dalam kemalangan di Jalan Utama Ladang Kosma, Rompin, Sabtu lalu.

Mangsa, Hendrawan, 24, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan semalam akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Rompin Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata siasatan awal mendapati lori jenis Toyota itu dipandu remaja lelaki berusia 15 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu, manakala penumpangnya berusia 17 tahun.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang, lori berkenaan dalam perjalanan dari Perumahan Ladang Kilang Kosma menuju ke kawasan pembinaan Ladang Kosma sebelum dipercayai hilang kawalan.

"Setiba di lokasi kejadian, lori itu kemudian terbalik di bahu jalan sebelah kanan dan menghempap motosikal yang datang dari arah bertentangan.

"Pembonceng motosikal yang berusia 24 tahun sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurut Sharif Shai, pemandu lori cedera tangan dan kaki kanan manakala penumpangnya cedera mata kiri.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu lori mengawal kenderaan sehingga menyebabkan lori terbabit hilang kawalan dan terbalik.

Katanya, semakan turut mendapati pemandu lori mempunyai lima saman atas pelbagai kesalahan, manakala kedua-dua kenderaan terlibat tidak mempunyai cukai jalan sah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved