Penunggang motosikal maut dirempuh kereta dipandu warga asing

22 Jul 2026 • 1:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penunggang motosikal maut dirempuh kereta dipandu warga asing
Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa selepas dirempuh sebuah kereta dipandu warga asing. - Foto: Media sosial

SUNGAI BULOH – Seorang penunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki warga asing ketika berhenti di lampu isyarat dalam kejadian di simpang empat Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.23 malam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang seorang lelaki tempatan dan sebuah kereta Nissan Almera.

"Siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja menuju ke rumahnya.

"Apabila tiba di simpang empat lampu isyarat merah, kereta yang dipandu seorang lelaki warga asing dari arah belakang dipercayai melanggar bahagian belakang motosikal yang sedang berhenti di lampu isyarat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Mohd Hafiz berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati serta mengutamakan keselamatan ketika memandu dan menunggang kenderaan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi lampu isyarat serta had laju yang ditetapkan, selain tidak menyebarkan berita tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan.

Dalam pada itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Azie Azyanti Mohd Rafae, di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-6156 1222 bagi membantu siasatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved