
KOTA KINABALU: Seorang pekerja am berusia 32 tahun didenda RM3,000 atau penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana memiliki kad pengenalan milik orang lain.
Morsidi Selsido mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin kerana memiliki MyKad bernombor siri 920314-12-5415 atas nama Izwan Zulkornai tanpa sebab munasabah. Kesalahan itu dilakukan pada jam 12.20 tengah hari, 9 Ogos lalu di Balai Ketibaan 3, Terminal Domestik, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Berdasarkan fakta kes, seorang pegawai imigresen bertugas di Balai Ketibaan 3 KKIA memeriksa Morsidi yang menunjukkan imej digital Pas Masuk (E-Boarding Pass) dengan dua laluan penerbangan: Tawau–Kota Kinabalu dan Sandakan–Kota Kinabalu.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati pas masuk tersebut tidak berdaftar dalam sistem dan disyaki palsu. Pemeriksaan seterusnya menemukan MyKad atas nama Izwan Zulkornai dalam simpanan Morsidi.
Pegawai terbabit mengesyaki cubaan menipu pihak berkuasa menggunakan pas masuk palsu dan kad pengenalan milik orang lain sebelum membuat laporan. Hasil semakan cap jari dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan identiti Morsidi tidak sepadan dengan data pemilik MyKad tersebut.
Peguam Lim Ming Zoong @ Lawrence yang mewakili Morsidi memohon hukuman tanpa penjara dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin, mempunyai dua anak, bekerja sebagai buruh, dan ini adalah kesalahan pertamanya.
Dia memberitahu mahkamah, Morsidi telah ditipu oleh seorang ejen dan membayar RM3,000 untuk mendapatkan dokumen tersebut.
Mahkamah memerintahkan Morsidi dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas membayar denda atau selesai menjalani hukuman.
Dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 38 tahun didenda RM1,300 atau penjara sebulan kerana memiliki telefon bimbit yang dipasang aplikasi perjudian dalam talian.
Hamsia Haruna mengaku bersalah memiliki telefon dengan aplikasi “Mega88” yang digunakan untuk kegiatan perjudian dalam talian, pada jam 2.10 petang, 7 Mac lalu di sebuah kedai runcit di Taman Jumbo Commercial Centre, Putatan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut pihak pendakwaan, polis menjalankan “Op Dadu” di premis terbabit dan mendapati Hamsia terlibat dalam aktiviti itu menggunakan telefon bimbitnya.
Kedua-dua kes dikendalikan oleh Inspektor Yusdi Basri.
