'Buta huruf ke?' - Anwar sekolahkan pihak guna kenyataan lama isu minyak turun

LocalPolitics
4 Apr 2026 • 1:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Perdana Menteri ketika berucap pada program Temu Anwar bersama Warga MCKK di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) hari ini. - Foto: Bernama

KUALA KANGSAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak tertentu yang terus memainkan semula kenyataan lamanya berhubung isu penurunan harga minyak.

Beliau menyifatkan tindakan mengitar semula kenyataan ‘hari ini menang, esok minyak turun’ tanpa mengambil kira konteks sebenar sebagai cubaan mengelirukan rakyat demi kepentingan politik sempit.

“Ada pihak menggunakan media sosial untuk memutarbelitkan fakta. Minyak melambung naik, kemudian mereka mengulang kenyataan lama saya.

“Eh, kamu ini tidak membaca fakta atau buta huruf? Kenyataan itu dibuat ketika harga minyak di Arab Saudi sekitar 50 sen, tetapi kita (sekarang) RM1.99.

“Jika fakta tidak dipedulikan, yang ada cuma politik picisan yang memperbodohkan rakyat,” katanya ketika sesi dialog dalam program ‘Temu Anwar Bersama Warga MCKK’ di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah.

Menteri Kewangan itu menegaskan bahawa keadaan ketika ini jauh berbeza apabila Malaysia masih mengekalkan antara harga minyak terendah di dunia meskipun banyak negara pengeluar telah menaikkan harga bahan api masing-masing.

Katanya, kerajaan juga terus komited mengekalkan subsidi diesel khususnya bagi golongan petani dan nelayan bagi mengurangkan beban kos sara hidup.

Mengulas lanjut, beliau mengakui cabaran besar dalam melaksanakan perubahan dan reformasi, terutama dalam suasana politik semasa yang memerlukan rundingan pelbagai pihak.

Menurutnya, kerajaan yang dipimpinnya tidak mempunyai kuasa mutlak, sebaliknya perlu mendapatkan sokongan rakan gabungan dalam setiap keputusan yang dibuat.

“Saya dalam Parlimen cuma ada 82 orang daripada 222. Saya perlu berunding dengan rakan-rakan. Saya bernasib baik rakan-rakan dalam UMNO memberikan kerjasama penuh, begitu juga Sabah dan Sarawak.

“Setiap langkah harus dirunding. Saya bukan pemimpin mutlak seperti diktator,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, usaha memerangi rasuah tetap menjadi keutamaan kerajaan meskipun mengakui ia bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat kerana melibatkan sistem yang telah lama berakar.

Beliau mendedahkan bahawa dalam tempoh dua tahun pentadbiran, kerajaan berjaya mendapatkan semula wang yang diseleweng berjumlah RM15.5 bilion.

“Adakah kita mampu hapuskan sepenuhnya? Belum, kerana ia bersifat sistemik. Namun, usaha itu berjalan dan hasilnya sudah dapat dilihat,” jelasnya.

Ahli Parlimen Tambun itu turut menyentuh bahawa keputusannya tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri dibuat bagi memberi contoh bahawa kepimpinan bukan bertujuan mengumpul kekayaan peribadi.

“Saya tidak mengambil gaji. Dalam tempoh tiga tahun, jumlahnya sudah mencecah jutaan ringgit. Saya ingin memberi contoh bahawa tidak semua pemimpin mencari kekayaan peribadi,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana pemimpin menerima gaji yang sah, namun yang menjadi isu ialah penyalahgunaan kuasa sehingga mengumpul kekayaan luar biasa.

“Yang kita tidak mahu ialah seseorang itu, selepas memegang jawatan, kekayaannya meningkat hingga berbilion. Mana mungkin negara boleh selamat jika begitu,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Anwar yang merupakan bekas pelajar MCKK dari tahun 1960 hingga 1966 turut menyempurnakan penyerahan cek cura berjumlah RM800,000 bagi kerja-kerja naik taraf di Dewan Hargreaves MCKK.

Terdahulu, Anwar mengadakan kunjungan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford di sini dan meluluskan peruntukan berjumlah RM296,000 bagi tujuan pemuliharaan bangunan hospital pertama di Kuala Kangsar yang kini digunakan oleh SMK Clifford.