Saya tidak akan adakan pilihan raya dalam satu dua bulan ini - Anwar

LocalPolitics
4 Apr 2026 • 6:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar menyampaikan ucapan perasmian Program Madani Rakyat 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru, Ipoh pada Sabtu. - FOTO: Bernama

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa Dewan Rakyat tidak akan dibubarkan dalam tempoh terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurutnya, kerajaan fokus kepada usaha menangani cabaran ekonomi dan keselamatan negara.

Katanya, keutamaan ketika ini adalah memastikan kestabilan negara susulan ketidaktentuan global termasuk konflik di Asia Barat yang memberi kesan langsung kepada ekonomi dunia.

"Saya tidak akan adakan pilihan raya dalam (tempoh) satu dua bulan ini, sabar sekejap.

"Sekarang ini kerja, cukup-cukuplah politik, bangun selamatkan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Madani Rakyat di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini pada Sabtu.

Anwar berkata, situasi semasa memerlukan semua pihak termasuk pemimpin dan rakyat untuk memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi serta menjaga keselamatan negara bukannya terus berpolitik.

Menurutnya, konflik antarabangsa yang berlaku ketika ini turut memberi tekanan kepada harga minyak global, kos logistik serta rantaian bekalan yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat.

“Ini bukan soal pertarungan politik. Ini realiti ekonomi yang sukar.

"Kita perlu tumpu untuk selamatkan negara," katanya yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan kerajaan telah mengambil beberapa langkah penjimatan termasuk membatalkan sebahagian besar lawatan rasmi ke luar negara melibatkan menteri dan timbalan menteri.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan sumber negara digunakan secara berhemah dalam keadaan ekonomi yang mencabar.