Sebelum ini kami telah melaporkan bahawa Intel akan memperlihatkan butiran lanjut mengenai siri cip pemprosesan komputer riba terbaru mereka, Intel Panther Lake pada 9 Oktober ini. Menurut laporan terbaru, maklumat yang akan diperlihatkan pada minggu ini hanyalah sebahagian kecil daripada apa yang orang ramai mahu tahu.
Apa yang akan diperlihatkan pada pengumuman minggu ini termasuklah perubahan dari segi spesifikasi teras yang akan digunakan, termasuklah Cougar Cove untuk teras Performance dan Darkmont untuk teras Efficiency mereka.

Mungkin yang lebih menarik adalah cip pemprosesan grafik Intel Arc Xe3 (Arc Celestial) terbaru yang akan digunakan bersama-sama dengan siri cip pemprosesan ini.
Peniris maklumat tersebut, Golden Pig Upgrade mengatakan bahawa butiran lanjut seperti nama model, jumlah teras dan prestasi cip pemprosesan hanya akan diperlihatkan seawal Januari 2026 sewaktu acara Consumer Electronics Show 2026 yang akan berlangsung di Las Vegas.
Ini juga bermakna bahawa kita hanya akan memperlihatkan komputer-komputer riba baru yang dikuasakan cip pemprosesan Panther Lake ini seawal suku pertama tahun hadapan.

