amree31/07/2026 - 15:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Julai — Butterfield FB Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd menjelang penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Anak syarikat milik penuh M&A Equity Holdings Berhad itu akan bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan bagi proses pelaksanaan IPO syarikat tersebut.
Dana penyenaraian itu akan digunakan untuk perluasan kapasiti kecekapan operasi pengeluaran dan penyimpanan di fasiliti syarikat di Bukit Minyak, Pulau Pinang bagi memenuhi permintaan pasaran.
"IPO Butterfield FB melibatkan 150 juta saham baharu iaitu 18% daripada modal saham diperbesarkan, serta tawaran jualan 72 juta saham sedia ada atau 9% daripada modal itu," katanya dalam kenyataan.
Pengeluar campuran serbuk ekstrak kopi dan teh itu menawarkan rumusan pengeluaran meliputi proses formulasi, pembuatan dan pengedaran, selain perdagangan bahan makanan dan produk minuman segera.
Pelanggannya pula terdiri daripada pengeluar minuman segera, minuman sedia diminum, serta produk konfeksi, dengan Malaysia dan Thailand menjadi penyumbang utama kepada hasil kumpulan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Butterfield FB, Lee Mong Khai berkata, pemeteraian perjanjian taja jamin itu menandakan syarikat semakin hampir merealisasikan usaha penyenaraianya di Pasaran ACE.
"Langkah ini membuka lembaran baharu bagi mempercepatkan pertumbuhan perniagaan dan mengukuhkan kedudukan pasaran seiring peningkatan permintaan terhadap minuman yang mudah disediakan," katanya.
Ini termasuk minuman segera dan minuman sedia diminum, yang dijangka terus memacu permintaan bagi formulasi campuran serbuk ekstrak kopi dan teh serta disesuaikan mengikut keperluan pelanggan.
Daripada 150 juta saham baharu itu, sebanyak 40 juta saham diperuntukkan Butterfield FB kepada warga Malaysia melalui proses pengundian, manakala 16 juta saham kepada pengarah, pekerja dan individu.
Di bawah perjanjian tersebut, M&A Securities akan menjamin penajaan jaminan sebanyak 56 juta saham baharu yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia dan pemohon berkelayakan tertentu.
"Usaha ini sekali gus memperkukuhkan persediaan kumpulan untuk dapat disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan lancar pada September 2026," katanya. - DagangNews.com





