GB Bond lantik Malacca Securities sebagai penaja jamin IPO di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
31 Jul 2026 • 10:21 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

GB Bond lantik Malacca Securities sebagai penaja jamin IPO di Pasaran ACE Image from: GB Bond lantik Malacca Securities sebagai penaja jamin IPO di Pasaran ACE liza31/07/2026 - 10:21 Malacca Securities dilantik sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi keseluruhan pelaksanaan IPO tersebut Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 31 Julai – GB Bond Holdings Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities Sdn Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

IPO tersebut melibatkan terbitan sebanyak 64.3 juta saham baharu serta tawaran jualan 42.88 juta saham sedia ada, sekali gus menjadikan jumlah modal saham terbitan syarikat meningkat kepada 412.3 juta saham selepas penyenaraian.

 

Di bawah perjanjian itu, Malacca Securities akan menaja jamin sebanyak 24.738 juta saham baharu yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia serta pengarah, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Perincian Struktur IPO

Daripada keseluruhan 64.3 juta saham baharu yang diterbitkan, sebanyak 20.615 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, manakala 4.123 juta saham dikhaskan kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak.

 

Baki 39.562 juta saham pula akan ditawarkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Bagi tawaran jualan saham sedia ada pula, sebanyak 11.975 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI, manakala baki 30.904 juta saham akan ditawarkan kepada pelabur terpilih.

 

Pengarah Urusan GB Bond, Datuk Gooi Ching Koay berkata, syarikat terus memperkukuh kelebihan daya saingnya menerusi pasukan pembangunan formulasi produk yang berpengalaman serta memiliki kepakaran teknikal dan pengetahuan industri yang luas.

 

Beliau berkata, keupayaan teknikal serta pemahaman mendalam terhadap keperluan pasaran menjadi asas kukuh kepada pertumbuhan mampan syarikat dan mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan yang diyakini dalam industri.

 

"Kami menantikan fasa seterusnya dalam perjalanan syarikat menerusi cadangan penyenaraian di Pasaran ACE. Langkah ini mencerminkan hasil persediaan, keupayaan dan usaha bersama seluruh pasukan ketika kami beralih daripada fasa perancangan kepada pelaksanaan dengan matlamat membina asas yang lebih kukuh untuk pertumbuhan mampan,” katanya.

 

GB Bond Perluas Kapasiti Pengeluaran Menerusi IPO

"Dengan struktur taja jamin kini dimuktamadkan, kami kekal komited untuk meneruskan proses IPO secara teratur dan berdisiplin menjelang pelancaran prospektus serta beberapa lagi peringkat penting sebelum penyenaraian," katanya.

 

Hasil yang diperoleh daripada terbitan saham baharu itu akan digunakan untuk membina kemudahan pembuatan baharu bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran pelekat industri sebanyak 35.31%, selain menyokong pengembangan operasi ke Vietnam, memperkukuh keupayaan pembangunan formulasi produk, memenuhi keperluan modal kerja, membiayai aktiviti pemasaran serta menampung perbelanjaan penyenaraian.

 

Ditubuhkan pada tahun 2000, GB Bond merupakan pengeluar pelekat industri berasaskan air, polimer emulsi dan bahan pengedap yang membekalkan produk kepada pelanggan dalam sektor kertas dan pembungkusan, laminasi fabrik, kerja kayu serta pembinaan dan pengubahsuaian.

 

Syarikat yang mempunyai pengalaman operasi selama 25 tahun itu turut mengeksport produknya ke beberapa pasaran luar negara serta memiliki keupayaan menghasilkan formulasi pelekat dan bahan kimia yang disesuaikan mengikut keperluan pelbagai industri.

 

Malacca Securities dilantik sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi keseluruhan pelaksanaan IPO tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved