BYD belum putuskan henti atau teruskan pelaburan di Tanjung Malim

LocalBusiness & Finance
4 Aug 2026 • 1:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BYD belum putuskan henti atau teruskan pelaburan di Tanjung Malim

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum menerima maklumat rasmi sama ada syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, BYD akan meneruskan pelaburan di Tanjung Malim, Perak ataupun sebaliknya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sebarang keputusan oleh BYD perlu mengambil kira syarat yang telah ditetapkan kerajaan.

“Sebarang keputusan untuk meneruskan, menangguhkan atau mengubah pelan pelaburan adalah keputusan komersial syarikat terbabit,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan mengenai perkembangan terkini loji pemasangan BYD di Malaysia sebagai pengeluar EV.

Johari berkata, kerajaan akan terus menggalakkan aktiviti skim pemasangan tempatan (CKD) EV menerusi pemberian pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan CKD sehingga 31 Disember 2027.

“Namun, kelayakan menikmati insentif itu tertakluk kepada pematuhan terhadap peruntukan di bawah Peraturan Kastam 1988 serta syarat lain yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, beberapa pengeluar automotif telah melaksanakan pelaburan fizikal di Malaysia melalui pembinaan dan pengoperasian kilang pemasangan tempatan.

Katanya, selain Proton dan Perodua, pengeluar peralatan asal (OEM) yang mempunyai kilang pemasangan sendiri di Malaysia adalah Honda Malaysia Sdn. Bhd. di Pagoh, Johor; Assembly Services Sdn. Bhd. bagi jenama Toyota di Bukit Raja, Selangor dan Volvo Car Manufacturing Malaysia Sdn. Bhd. di Shah Alam, Selangor.

Selain itu, turut terlibat adalah Tan Chong Motor Assemblies Sdn. Bhd. di Segambut, Kuala Lumpur dan Serendah, Selangor; Chery Corporate Malaysia Sdn. Bhd. di Shah Alam, Selangor serta Stellantis Malaysia Sdn. Bhd. di Gurun, Kedah.

Tambahnya, Malaysia turut mempunyai syarikat pemasangan pihak ketiga secara kontrak yang menjalankan aktiviti pemasangan bagi OEM termasuk Inokom Corporation Sdn. Bhd. di Kulim, Kedah; Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn. Bhd. di Pekan, Pahang; Berjaya Assembly Sdn. Bhd. di Tebrau, Johor dan EP Manufacturing Bhd. di Melaka.

“Senarai ini menunjukkan Malaysia mempunyai kapasiti pemasangan dan pengeluaran automotif yang kukuh melibatkan pengeluar nasional, pengeluar antarabangsa serta syarikat pemasangan pihak ketiga.

“Kerajaan akan terus memantau tahap penggunaan kapasiti sedia ada dan memastikan setiap pelaburan baharu benar-benar menyumbang kepada peningkatan nilai tambah domestik, pembangunan vendor tempatan, pemindahan teknologi, pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi serta pengukuhan aktiviti eksport.

“Langkah ini penting bagi memastikan kapasiti pengeluaran negara dimanfaatkan secara optimum dan terus menyokong pembangunan industri automotif yang berdaya saing serta mampan,” katanya. – UTUSAN

The post BYD belum putuskan henti atau teruskan pelaburan di Tanjung Malim appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved