Sinergi Proton, Geely perkukuh ekosistem automotif negara

LocalCars
1 Aug 2026 • 7:25 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sinergi Proton, Geely perkukuh ekosistem automotif negara

TANJUNG MALIM: Sinergi Proton dan Geely telah memperkukuh ekosistem automatif negara selain membuka peluang pekerjaan kepada 9,700 individu yang memberikan kesan katalis kepada ekonomi negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kapasiti pengeluaran kenderaan jenama Proton telah mencecah lebih 150,000 buah setahun yang membuktikan keberhasilan kerjasama strategik tersebut.

“Perkembangan ini menjadi contoh kepada pengeluar automotif asing yang ingin melabur di Malaysia supaya bukan sekadar menjual kenderaan, sebaliknya membina ekosistem bersama pemain industri tempatan.

“Kita mahu pelabur yang datang ke Malaysia membina ekosistem bersama usahawan dan pengeluar komponen tempatan supaya semua pihak mendapat manfaat melalui peluang pekerjaan, keuntungan dan pulangan kepada negara,” katanya kepada pemberita di Kilang Kenderaan Elektrik (EV) Proton di sini semalam.

Terdahulu, beliau merasmikan pencapaian penting dalam usaha lokalisasi iaitu pelancaran pengeluaran kereta Proton e.MAS 7 PHEV secara pemasa­ngan tempatan (CKD).

Menurut beliau, kerjasama tersebut jelas membantu pemain dan usahawan tempatan berkaitan komponen pembuatan dengan mewujudkan peluang pekerjaan serta menjana keuntungan.

“Contohnya sumbangan cukai Proton kepada negara sekarang sudah mencecah RM806 juta, termasuk cukai korporat, duti eksais dan duti import. Jadi semua ini akan manfaatkan negara.

“Satu industri yang boleh bagi kesan pengganda yang besar tetapi dengan syarat semua mesti ada pemikiran bahawa kita mahu pelabur datang dalam negara dan dia (pelabur) sedia bekerjasama,” katanya.

Menurut beliau, pelancaran barisan pengeluaran pertama PHEV di Proton Tanjung Malim membuktikan kesediaan syarikat itu memenuhi permintaan masa depan yang semakin menjurus kepada teknologi hibrid, iaitu gabungan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan EV.

Jelasnya, teknologi itu menawarkan jarak perjalanan sehingga 1,100 kilometer tanpa perlu mengisi minyak sepanjang perjalanan, sekali gus memberi pilihan yang lebih praktikal kepada pengguna selain menjadikan teknologi berkenaan lebih mampu dimiliki.

“Teknologi ini bukan baharu, tetapi Proton berjaya membawanya kepada pasaran sebagai pilihan yang lebih mampu milik supaya rakyat mempunyai lebih banyak pilihan,” katanya.

Pengeluaran Proton e.MAS 7 PHEV CKD menandakan langkah seterusnya dalam usaha lokalisasi PRO-NET iaitu anak syarikat milik penuh Proton Holdings Berhad. –UTUSAN

The post Sinergi Proton, Geely perkukuh ekosistem automotif negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved