BYD Seal secara rasmi telah dilancarkan di Malaysia menjadikannya model ketiga EV keluaran mereka ditawarkan di negara kita. Pelancaran Seal memang dinantikan ramai kerana ia adalah kenderaan yang dilihat sebagai pesaing kepada Tesla Model 3 kerana spesifikasi yang hampir setanding.

Untuk pasaran tempatan dua model ditawarkan iaitu BYD Seal Performance AWD dan BYD Seal Premium. Berdasarkan nama anda pasti dapat mengagak model Performance AWD adalah yang paling mercu kerana dilengkapi dwi-motor yang menawarkan 530 kuasa kuda dengan tork 670NM. Menerusi kapasiti bateri 82.5kWh, Seal Performance AWD mempunyai jarak perjalanan sehingga 580km NEDC. Pengecasan yang disokong pula ialah sehingga 150kW DC yang memberikan pengecasan 10-80% dalam masa kurang 40 minit.

Model BYD Seal Premium pula sekadar dilengkapi satu motor yang menawarkan 313 kuasa kuda dengan tork 360NM. Kapasiti bateri adalah sama sahaja iaitu 82.5kWh dengan pengecasan 150KW DC tetapi jarak perjalanan meningkat ke boleh bergerak sehingga 650km NEDC.

Di Malaysia BYD Performance AWD dijual pada harga RM199,800 manakala BYD Premium dijual pada harga RM179,800. Untuk 800 pembeli terawal, BYD memberikan pengecas dinding percuma dan kredit pengecasan percuma RM800 menerusi Gentari atau ChargEV.



