BYD Sealion 7 2026 dijual bermula RM163,800

Business & Finance
31 Jul 2026 • 8:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BYD Sealion 7 2026 dijual bermula RM163,800

PETALING JAYA: Pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia, BYD Sime Motors melancarkan model Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) elektrik utamanya, BYD Sealion 7 2026 yang dipertingkatkan, sekali gus memperluas penawarannya menerusi pengenalan varian terbaharu, Dynamic.

Bagi pasaran tempatan, varian terbaharu Dynamic ditawarkan pada harga RM163,800, manakala 300 pelanggan terawal layak menikmati harga promosi pelancaran RM159,800 selepas penjimatan RM4,000.

Kehadiran varian Dynamic itu melengkapkan barisan sedia ada bersama varian Premium dan Performance yang kini dinaik taraf dengan kapasiti bateri lebih besar, jarak pemanduan lebih jauh serta keupayaan pengecasan pantas.

Bagi varian Premium dan Performance masing-masing dijual pada harga RM188,800 dan RM203,800 dengan pakej promosi menarik termasuk unit pengecas Wallbox percuma serta bonus tukar beli (overtrade).

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, BYD Sealion 7 yang menguasai kedudukan sebagai SUV Elektrik Segmen-D No. 1 di Malaysia pada 2025 dengan jualan melebihi 6,300 unit kini menawarkan lebih fleksibiliti buat pemandu tempatan.

“Naik taraf terbaharu ini menjadikan BYD Sealion 7 2026 sebuah pakej lengkap yang memberi nilai lebih tinggi sekali gus menyokong perjalanan transformasi kenderaan elektrik (EV) negara,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Pengarah Urusan BYD Sime Motors, Adeline Lew berkata, komitmen syarikat disokong oleh rangkaian perkhidmatan merangkumi 44 pusat jualan, 28 kemudahan lepas jualan serta Program Kenderaan Terpakai Diiktiraf BYD.

“Dari segi spesifikasi, varian Dynamic (pacuan roda belakang) dilengkapi bateri yang mampu menjana kuasa 170 kW, tork 380 Nm dan jarak pemanduan sejauh 520 kilometer (km) (NEDC) dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat.

“Bagi varian Premium, kapasiti Bateri Blade BYD ditingkatkan kepada 91.39 kWh yang membolehkan jarak pemanduan bertambah dari 567 km kepada 650 km, selain keupayaan pengecasan pantas DC dinaik taraf daripada 150 kW kepada 230 kW.

“Manakala varian Performance (AWD) menawarkan kuasa 390 kW dan tork 690 Nm dengan pecutan sepantas 4.5 saat, jarak pemanduan sehingga 600 km, pengecasan pantas 230 kW serta rim 20 inci dengan angkup brek berwarna merah,” katanya. 

Semua varian BYD Sealion 7 binaan e-Platform 3.0 ini dilindungi jaminan kenderaan selama enam tahun atau 150,000km, jaminan bateri serta unit pemacu selama lapan tahun atau 160,000 km.

Orang ramai boleh menyaksikan model baharu ini di Jerayawara ‘Beyond Your Drive’ di Pusat beli-belah 1 Utama sehingga 2 Ogos ini atau di semua bilik pameran BYD berdekatan. – UTUSAN

The post BYD Sealion 7 2026 dijual bermula RM163,800 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved