
.jpg)
Pemasangan tempatan BYD Malaysia kini rasmi bermula hari ini menerusi kerjasama strategik bersama Sime Motors di kilang Inokom, Kulim, Kedah. Trak pikap 4x4, BYD Shark 6, telah dipilih sebagai model sulung bagi memacu pembangunan ekosistem kenderaan tenaga baharu (NEV) serta memperkukuh kedudukan jenama itu di pasaran tempatan.
.jpg)
.jpg)
Majlis pelancaran bersejarah ini telah disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Turut hadir ialah pengurusan tertinggi MIDA, Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, serta Pengarah Urusan Sime Motors Asia Tenggara, Jeffrey Gan.
Sementara itu, Datuk Johari berkata, pihaknya amat berbangga melihat pemain automotif global seperti BYD terus melabur di Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan industri automotif negara.


"Pelaburan seperti ini bukan sahaja membawa kenderaan dan teknologi baharu ke pasaran kami, malah turut mewujudkan persaingan sihat, menggalakkan inovasi dan mendorong industri untuk sentiasa meningkatkan piawaian. Tidak kurang pentingnya, kami mahu melihat pembangunan ekosistem yang lebih kukuh untuk menyokong peralihan ini, dari segi pembuatan tempatan dan pembangunan bakat serta infrastruktur seperti kemudahan pengecas EV ultra-pantas, untuk meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap penggunaan kenderaan elektrik.
"Kami mengalu-alukan kerjasama BYD dan Sime Motors dan menantikan peluang yang bakal diwujudkan untuk industri automotif tempatan, syarikat-syarikat perniagaan dan rakyat Malaysia," kata Yang Berhormat Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri," katanya.
.jpg)
Pemilihan BYD Shark 6 sebagai model pertama pemasangan tempatan (CKD) menandakan langkah agresif jenama itu meluaskan portfolio produknya di Malaysia. Sejak diperkenalkan pada tahun 2025, trak pikap 4x4 ini berjaya mencuri tumpuan pengguna tempatan.


Langkah ini membolehkan BYD menembusi segmen pelanggan baharu yang mahukan kenderaan lasak berteknologi elektrik. Pada masa yang sama, ia membuktikan keyakinan tinggi syarikat gergasi automotif itu terhadap potensi pertumbuhan pasaran Malaysia.
Operasi pemasangan tempatan BYD akan bertempat di Inokom Corporation (Inokom), fasiliti milik Sime Motors yang terletak di Kulim, Kedah. Kilang ini dipilih berdasarkan rekod operasi yang mapan, infrastruktur lengkap, serta tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi.
Menurut Jeffrey Gan, Sime Motors mempunyai keupayaan pembuatan yang kukuh, tenaga kerja berkemahiran tinggi serta rangkaian pembekal tempatan yang mantap.
"Kekuatan ini, apabila digabungkan dengan kepakaran dan aspirasi BYD, membolehkan kami menyokong operasi pemasangan tempatan, membuka lebih banyak peluang kepada rakan industri serta menyumbang kepada usaha Malaysia untuk berkembang sebagai hab pembuatan automotif serantau yang berdaya saing,” katanya.

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, menyifatkan Malaysia mempunyai potensi besar untuk BYD, bukan sahaja sebagai pasaran yang semakin berkembang untuk NEV, tetapi dari segi keupayaan industri automotif yang kukuh, tenaga kerja mahir dan peluang untuk terus berkembang.
"Kemudahan pemasangan tempatan merupakan sebahagian daripada rancangan jangka panjang kami untuk Malaysia dan kami berbesar hati untuk melihat visi tersebut menjadi kenyataan pada hari ini. Bagi kami, langkah ini bukan hanya mengenai pemasangan kenderaan, tetapi juga usaha untuk membina kerjasama yang lebih rapat dengan industri tempatan, berkongsi teknologi dan kepakaran serta mencipta peluang bagi pemindahan ilmu dan kemahiran.
"Kami benar-benar terhutang budi kepada MITI dan Sime Motors atas sokongan dan kerjasama mereka untuk mencapai mercu jaya penting ini. Kami berharap untuk berkembang maju bersama Malaysia, serta menyumbang kepada industri automotif dan menyokong usaha negara ke arah peralihan kepada pengangkutan elektrik," katanya.
Butiran lanjut mengenai kapasiti pengeluaran serta tarikh mula jualan rasmi bagi unit pemasangan tempatan ini dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.




