amree26/11/2026 - 16:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov — Kia Sales Malaysia memperkenalkan Kia Sportage Turbo-Hybrid, model hibrid pertama jenama itu di pasaran tempatan, dengan harga bermula RM148,800 dan penggunaan bahan api serendah 4.9 liter bagi setiap 100 kilometer.
Menurut kenyataan, pelancaran model kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu itu menandakan langkah penting Kia dalam memperluas penawaran kenderaan dijana elektrik di Malaysia, selaras strategi syarikat untuk mempelbagaikan rangkaian menjelang 2030.
Jelas syarikat tersebut pada Khamis, Sportage generasi kelima yang dikemas kini itu turut ditawarkan dalam dua varian berbeza iaitu 1.6 Turbo-Hybrid X-Line 2WD pada harga RM148,800 manakala 1.6 Turbo-Hybrid X-Line AWD pula dengan harga RM158,800.
"Kedua-dua varian menggunakan enjin petrol pengecas turbo 1.6 liter yang digabungkan dengan motor elektrik, sekali gus menghasilkan kuasa gabungan 235PS dan tork 367Nm, selain dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan," tambah Kia Sales Malaysia.

Gabungan rangkaian kuasa itu membolehkan Sportage memecut dari sifar hingga 100 kilometer (km) sejam hanya dalam masa lapan saat, manakala penggunaan bahan api bagi varian 2WD bermula 4.9 liter/100km dan 5.3 liter/100km untuk varian AWD.
Dari segi reka bentuk katanya, Sportage baharu tersebut menampilkan pakej X-Line yang diperkenalkan buat pertama kali di Malaysia, termasuk kemasan luaran hitam, lengkap lampu utama Full-LED dengan pencahayaan Star-Map serta rim aloi 18 inci.
Ruang kabin jelas Kia Sales Malaysia, menerima pembaharuan menerusi paparan digital pemandu dan sistem infotainmen 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay serta Android Auto tanpa wayar, pencahayaan ambien 64 warna dan sistem kawalan iklim automatik dwi-zon.
"Model ini juga dilengkapi teknologi khusus hibrid seperti brek regeneratif pintar, e-Ride untuk meningkatkan keselesaan ketika melalui permukaan jalan tidak rata serta e-Handling bagi membantu kestabilan dan kawalan ketika mengambil selekoh," ujarnya.

Aspek keselamatan pula merangkumi pelbagai sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), antaranya Lane Following Assist 2, Forward Collision-Avoidance Assist 2, Blind-Spot Collision-Avoidance Assist serta Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist, selain enam beg udara sebagai ciri standard.
Sportage baharu yang dipasang secara tempatan di Gurun, Kedah, menerusi kerjasama strategik dengan Stellantis Malaysia turut ditawarkan dengan waranti pengeluar lima tahun atau 150,000 kilometer, manakala bateri voltan tinggi dilindungi selama lapan tahun atau 160,000 kilometer.
Pengarah Urusan Kia Sales Malaysia, Emily Lek berkata, pelancaran model itu meneruskan kejayaan Sportage di Malaysia dan mencerminkan hala tuju jangka panjang Kia memperkukuh penawaran kenderaan elektrik serta memberikan pengalaman pemilikan lebih baik kepada pelanggan. - DagangNews.com




