ByteDance Akan Menggunakan Khidmat TSMC Untuk Mengilang Pemproses AI Mereka Sendiri

TechnologyDigital
20 Sep 2024 • 12:29 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Beberapa bulan lalu, kami telah melaporkan bahawa ByteDance, ibu syarikat disebalik perkhidmatan video singkat TikTok akan bekerjasama dengan Broadcom untuk membangunkan komponen pemprosesan kecerdasan buatan mereka sendiri.

Terkini, melalui laporan The Information, ByteDance nampaknya akan membangunkan dua buah kad grafik AI, satu untuk tujuan pembelajaran mesin dan satu lagi untuk tujuan memproses inferens. Menariknya, buat masa ini, ByteDance dilihat sedang menggunakan 200 ribu kad grafik NVIDIA H20, dan berniat untuk menukar kad-kad ini secara berkala.

Menurut laporan sama, cip-cip AI pertama ByteDance ini nampaknya berada dalam fasa rekaan dan pembangunan, dan dijangka akan dikilangkan sekitar tahun 2026. Tidak mengejutkan bahawa ByteDance akan menggunakan khidmat TSMC untuk mengilangkan cip-cip pemprosesan AI ini.

Ia juga dikatakan bahawa cip-cip tersebut akan menggunakan proses N4/N5 sama yang digunakan untuk membangunkan cip pemprosesan AI NVIDIA Blackwell terbaru.

Bercakap mengenai Blackwell, salah satu sebab utama mengapa ByteDance dilihat membangunkan cip AI mereka sendiri ialah kerana walaupun mereka telah melaburkan sebanyak $2 bilion untuk 200 ribu kad grafik NVIDIA H20, peralihan kepada kad grafik Blackwell dilihat sukar kerana stok kad grafik yang masih sangat rendah, dan akan memerlukan masa dan wang yang terlalu banyak untuk mendapatkannya.

Ia dijangka bahawa ByteDance akan beralih kepada menggunakan kad grafik AI mereka sendiri pada pertengahan 2026.