bzBee Consult, MK Land rangkul anugerah utama MPRA 2026

LocalBusiness & Finance
28 Nov 2026 • 9:05 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

bzBee Consult, MK Land rangkul anugerah utama MPRA 2026 Image from: bzBee Consult, MK Land rangkul anugerah utama MPRA 2026 johardy28/11/2026 - 09:05 MK Land Holdings Berhad merangkul anugerah Campaign of the Year (In-House) menerusi kempen “Making Their Story Heard: Giving Orangutan Conservation in Bukit Merah a Wider Voice” yang mengetengahkan usaha pemuliharaan orang utan di Bukit Merah pada majlis anugerah MPRA pada 27 Nov 2026. Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Nov - bzBee Consult Sdn Berhad dan MK Land Holdings Berhad merangkul anugerah utama pada Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) 2026 edisi ke-18, masing-masing memenangi Anugerah Kempen Terbaik Tahunan bagi kategori Agensi dan Dalaman.

 

Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Ashwad Ismail, menerima Anugerah Kepimpinan PRCA Malaysia, manakala perusahaan sosial PichaEats menerima Anugerah Komuniti PRCA Malaysia “Making a Difference” atas usahanya memperkasa komuniti pelarian.

 

Anjuran Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA Malaysia), MPRA 2026 menyampaikan 88 anugerah dalam 40 kategori, membabitkan 37 emas, 31 perak dan 20 gangsa. Anugerah itu mengiktiraf kecemerlangan kempen komunikasi, kepimpinan industri, pencapaian media, sumbangan kepada masyarakat dan bakat baharu.

 

Bertemakan “PR Across Generations” (Perhubungan Awam Merentas Generasi), penganjuran tahun ini meraikan perkembangan profesion itu serta sumbangan pelbagai generasi dalam memajukan industri perhubungan awam dan komunikasi negara.

 

Presiden PRCA Malaysia, Prof Mohd Said Bani C.M. Din dalam ucapannya, menekankan kepentingan menerima kemajuan teknologi tanpa mengabaikan prinsip dan nilai asas profesion itu.

 

“Daripada era mesin taip dan mesin faks hinggalah kepada media sosial dan kecerdasan buatan (AI), kaedah dan teknologi komunikasi telah berubah dengan pesat, namun matlamat asas profesion ini tetap sama. Teknologi mungkin mengubah cara kita berkomunikasi, tetapi kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan, integriti dan keupayaan meraih kepercayaan masyarakat menentukan sejauh mana profesion ini kekal relevan.

 

“Masa depan perhubungan awam bukan milik mana-mana satu generasi. Sebaliknya, ia bergantung pada keupayaan kita menggabungkan pengalaman, keberanian untuk berinovasi dan kesediaan untuk saling belajar. Tanggungjawab kita bukan sekadar mengikuti arus perubahan, tetapi memastikan profesion ini kekal berwibawa, beretika dan relevan,” katanya.


 

solar
Presiden PRCA Malaysia, Prof Mohd Said Bani C.M. Din


 

Kempen kesiapsiagaan haji dan pemuliharaan orang utan raih anugerah utama

bzBee Consult memenangi Anugerah Kempen Terbaik Tahunan (Agensi) menerusi kempen “Hajj the Destination. Istito’ah the Journey: How #MenujuIstito’ah Turned Hajj Aspiration into Preparation” yang dibangunkan untuk Lembaga Tabung Haji (TH).

 

Kempen pendidikan awam di seluruh negara itu membantu umat Islam di Malaysia memahami konsep istito’ah dan mengambil langkah praktikal sebagai persediaan menunaikan ibadah haji.

 

Menurut PRCA Malaysia, tahap kesedaran dilaporkan meningkat lebih dua kali ganda, manakala kadar penolakan tawaran haji turun daripada lebih 50 peratus kepada 18 peratus. Persatuan itu menyifatkan pencapaian tersebut sebagai contoh bagaimana komunikasi strategik dapat mendorong perubahan tingkah laku masyarakat.


 

solar
bzBee Consult meraih anugerah Campaign of the Year (Agency) menerusi kempen “Hajj the
Destination. Istito’ah the Journey: How #MenujuIstito’ah Turned Hajj Aspiration into Preparation” untuk
Lembaga Tabung Haji (TH), yang menggalakkan masyarakat beralih daripada sekadar menyimpan hasrat
menunaikan haji kepada membuat persediaan sebenar.

 


MK Land Holdings Berhad pula memenangi Anugerah Kempen Terbaik Tahunan (Dalaman) menerusi kempen “Making Their Story Heard: Giving Orangutan Conservation in Bukit Merah a Wider Voice”.

 

Kempen itu menggunakan liputan media, penglibatan sektor hospitaliti dan pengalaman pelawat untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan orang utan di Bukit Merah. Ia menghimpunkan wartawan, pelawat, rakan pemuliharaan dan penyelidik serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam usaha memelihara khazanah alam negara.

 

Ashwad Ismail dan PichaEats terima pengiktirafan PRCA Malaysia

PRCA Malaysia memberikan Anugerah Kepimpinan kepada Ashwad atas sumbangannya dalam bidang kewartawanan, penyiaran dan inovasi media serta usahanya memperkukuh kepercayaan masyarakat melalui komunikasi.

 

Beliau mempunyai pengalaman hampir dua dekad dalam bidang kewartawanan dan penyiaran, termasuk terlibat dalam penubuhan dan pembangunan Astro AWANI sebelum menerajui RTM.

 

Menurut PRCA Malaysia, Ashwad memainkan peranan penting dalam memperkukuh kewartawanan berwibawa dan memajukan industri penyiaran negara. Pengiktirafan itu turut mencerminkan kepentingan kepimpinan, integriti dan inovasi dalam membentuk masa depan industri media dan komunikasi Malaysia.


 

solar

 


PichaEats pula menerima Anugerah Komuniti PRCA Malaysia “Making a Difference” atas usahanya menggunakan komunikasi dan penceritaan untuk membawa perubahan sosial dan ekonomi kepada komuniti pelarian.

 

Ditubuhkan pada 2016 oleh Kim Lim, Suzanne Ling dan Lee Swee Lin, PichaEats membantu komuniti pelarian memanfaatkan kemahiran memasak untuk menjana pendapatan dan membina kehidupan yang lebih baik.

 

PichaEats setakat ini telah menyediakan lebih 350,000 hidangan. Menerusi makanan dan perkongsian kisah kehidupan sebenar, perusahaan sosial itu membantu mengubah tanggapan masyarakat terhadap komuniti pelarian, memupuk sikap prihatin serta meraih sokongan sektor korporat dan orang ramai.

 

DagangNews.com antara penerima Anugerah Media

MPRA 2026 turut mengiktiraf sumbangan wartawan dan organisasi media dalam memperkukuh kewartawanan berwibawa, memperkaya wacana awam dan membentuk masyarakat yang bermaklumat. Antara penerima Anugerah Media ialah RTM, BERNAMA, New Straits Times, The Star, DagangNews.com, Astro AWANI dan Kosmo!.


 

solar

 


Anugerah pelajar dalam bidang komunikasi, The Persuasive Pen Prize, pula mengiktiraf 18 pelajar cemerlang berdasarkan kemahiran menulis, kreativiti, keaslian idea dan perspektif baharu yang diketengahkan.

 

Menurut PRCA Malaysia, anugerah pelajar itu mencerminkan komitmennya untuk merapatkan jurang antara dunia akademik dengan industri serta membangunkan bakat muda sebagai pelapis dan peneraju profesion komunikasi negara.

 

PRCA Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Social Wave Analytics selaku penaja utama MPRA 2026. Penaja perak terdiri daripada MK Land Holdings Berhad, Agrobank, Berjaya Corporation Berhad, Gamuda Berhad dan Lembaga Pelancongan Sarawak (Sarawak Tourism Board).

 

Penaja kategori pula ialah WCE Holdings Berhad, YTL Cement, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), PETRONAS Gas Berhad, NGC Energy Sdn Berhad dan Taylor’s University.

 

Memasuki edisi ke-18, MPRA terus menjadi wadah kebangsaan untuk mengiktiraf kecemerlangan, meningkatkan piawaian profesional dan memperkukuh peranan strategik perhubungan awam dan komunikasi dalam perniagaan, pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat. — DagangNews.com

 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved