C4 tuntut kerajaan dedah dapatan pasukan petugas siasat Azam kepada umum

LocalPolitics
14 Mar 2026 • 6:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Kerajaan dituntut supaya mendedahkan segera laporan penuh hasil dapatan pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan pegangan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kepada umum.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) berkata, keputusan kerajaan untuk tidak mendedahkan dapatan siasatan boleh mengundang lebih banyak spekulasi termasuk isu tadbir urus.

Menurutnya, pendedahan hasil dapatan siasatan itu juga perlu merangkumi beberapa isu utama iaitu jumlah sebenar saham yang dimiliki Azam, syarikat saham yang dibeli dan sama ada pegangan saham dan aset diisytiharkan seperti diwajibkan ke atas penjawat awam.

"C4 Center mengecam keras sikap berdiam diri kerajaan mengenai keputusan siasatan terhadap Azam dan menuntut tindakan yang lebih tegas diambil bagi menyelesaikan dakwaan terhadap SPRM.

"Keputusan kerajaan untuk tidak mendedahkan dapatan siasatan menambahkan lagi kekaburan kepada satu lagi contoh ketidakteraturan tadbir urus yang serius. Kekurangan ketelusan ini boleh mendatangkan bahaya antaranya boleh memperlihatkan bahawa kerajaan tidak menganggap ia sebagai tanggungjawab mereka kepada rakyat dalam isu kegagalan institusi dan tadbir urus yang serius," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

C4 Center berkata, ketiadaan laporan penuh hasil siasatan tersebut juga menyukarkan orang ramai untuk menilai sama ada siasatan telah dijalankan secara menyeluruh, tanpa prejudis dan mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh SPRM sendiri.

"Akibatnya, orang ramai juga tidak dapat menilai sama ada tindakan disiplin atau penguatkuasaan yang diambil adalah setimpal dengan tahap kesalahan yang dilakukan yang mana mungkin dakwaan tersebut sebenarnya lebih serius tetapi Azam hanya dikenakan tindakan ringan," katanya.

Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar sebelum ini dilapor berkata, Lembaga Tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam akan meneliti laporan pasukan petugas khas berkaitan dakwaan tersebut.

Ia susulan agensi berita Bloomberg sebelum ini melaporkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, berdasarkan penyata tahunan syarikat yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu, yang didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024.

Azam bagaimanapun menegaskan transaksi tersebut telah diisytiharkan dan saham berkenaan telah dilupuskan tahun lalu.

Mengulas lanjut, C4 dalam masa sama turut menuntut supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan mafia korporat termasuk punca, kesan serta memastikan dapatan tersebut didedahkan sepenuhnya kepada umum.

"Kerajaan secara konsisten enggan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan mengenai mafia korporat, walaupun dakwaan tersebut turut disahkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyatakan bahawa parti itu pernah cuba tetapi gagal meyakinkan Kabinet untuk berbuat demikian," katanya.

Tambahnya, tindakan kerajaan yang menolak gesaan tersebut juga memperlihatkan penolakan yang jelas terhadap pengawasan bebas.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved