SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya mengumumkan secara terperinci hasil siasatan berhubung isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang mencetuskan perhatian umum ketika ini.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pendedahan seperti jumlah saham dimiliki dan syarikat yang terbabit itu penting bagi mengelakkan lebih banyak spekulasi timbul.
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, setakat ini maklumat yang diketahui hanya berdasarkan sidang media oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, namun ia tidak menjelaskan secara penuh dapatan siasatan berkenaan.
"Selagi kerajaan tidak mengumumkan hasil siasatan secara telus, termasuklah jumlah saham yang terlibat, jumlah syarikat dan bagaimana pelanggaran berlaku, spekulasi mengenai perkara-perkara ini akan terus bertiup kencang.
"Pada satu ketika, ia juga akan dilaporkan oleh pihak media, seperti mana beberapa pendedahan yang telah dilaporkan setakat ini. Rakyat berhak tahu perincian hasil siasatan kerana jika jumlah saham yang ditemui adalah RM14 juta seperti yang didakwa, isu ini tidak wajar ditangani semata-mata sebagai pelanggaran peraturan penjawat awam.
"Jumlah saham sebanyak RM14 juta mengundang persoalan mengenai punca kekayaan dan pendapatan Tan Sri Azam Baki kerana tidak sepadan dengan pendapatannya sebagai seorang penjawat awam kanan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan pada Rabu dilapor berkata, Jemaah Menteri sudah memutuskan tindakan lanjut akan diambil oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) berhubung dapatan laporan siasatan Peguam Negara terhadap Azam.
Beliau berkata, buat masa ini pihaknya tidak akan mendedahkan dapatan berkenaan sehingga tindakan diambil oleh KSN, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, secara lazimnya, individu yang disiasat kerana kekayaan diragui, SPRM akan mengambil beberapa tindakan seperti akaun dibekukan dan orang disiasat perlu membuat pengisytiharan harta, namun perkara itu tidak berlaku kepada Azam.
Beliau dalam masa sama menegaskan, kerajaan berdepan risiko dituduh bersubahat sekiranya segala dakwaan yang dibuat terhadap pemimpin nombor satu agensi antirasuah itu benar.
"Sekiranya dakwaan bahawa jumlah saham yang terlibat adalah RM14 juta di dalam sembilan syarikat itu benar, kegagalan kerajaan menyiasat punca kekayaan Tan Sri Azam akan dilihat sebagai bukti kerajaan bersubahat untuk melindungi Tan Sri Azam Baki," katanya.

