amree12/11/2026 - 17:25 Mohamed Sharil Tarmizi (kanan) menyerahkan plak cenderamata CAAM kepada Amir Hamzah Rahmat. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov — Majikan sektor penerbangan mempunyai peluang memanfaatkan levi Human Resource Development Corporation (HRD Corp) untuk membiayai pekerja menerusi program ditawarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), selepas badan itu berdaftar sebagai penyedia latihan.
Pendaftaran itu dilaksanakan menerusi bahagian latihan CAAM, iaitu Akademi Penerbangan Malaysia (MAvA), sekali gus memperluas akses kepada latihan berkaitan industri aeroangkasa dan membuka ruang lebih luas kepada syarikat penerbangan memperkukuh kemahiran tenaga kerja masing-masing.
Pengerusi CAAM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi ketika melancarkan program latihan berkenaan di MAvA, Sepang, Selangor berkata, usaha itu selaras mandat agensi tersebut di bawah Akta CAAM 2017 untuk membangunkan keupayaan sektor penerbangan awam serta memajukan pendidikan dan latihan.
"Majikan yang layak daripada pelbagai subsektor penerbangan kini boleh memanfaatkan levi HRD Corp bagi menyokong penyertaan pekerja mereka dalam segala program latihan ditawarkan yang memenuhi syarat ditetapkan," kata beliau dalam kenyataan pada Khamis.
Subsektor berkenaan ujarnya, merangkumi aspek pengurusan lapangan terbang, operasi komersial syarikat penerbangan, perkhidmatan pengendalian darat, perkhidmatan navigasi udara serta operasi penerbangan dan darat.
Inisiatif itu jelas Mohamed Shahril, akan menyediakan saluran tambahan kepada majikan penerbangan, termasuk syarikat berskala kecil dan besar, untuk meningkatkan lagi tahap kemahiran pekerja serta melabur dalam pembangunan bakat bagi tempoh jangka panjang.

Dalam pada itu, beliau berkata CAAM menerusi MAvA akan terus berhubung dengan majikan bagi mengenal pasti kemahiran yang diperlukan tenaga kerja ketika operasi penerbangan semakin berkembang, termasuk dalam bidang sistem digital dan teknologi penerbangan baharu.
"Isu pematuhan standard keselamatan memerlukan pekerja yang cukup memahami cara mengaplikasikannya dalam situasi operasi sebenar, termasuk ketika membuat keputusan di bawah tekanan," tambahnya. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi HRD Corp, Amir Hamzah Rahmat.
Kata Mohamed Shahril lagi, latihan yang disediakan MAvA turut memberi penekanan kepada keupayaan pekerja membangkitkan isu keselamatan, bertindak secara adil apabila berlaku sesuatu insiden serta mengambil pengajaran daripada kejadian berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa CAAM akan melaksanakan latihan itu secara berasingan daripada fungsi pengawasan kawal selianya, manakala setiap keputusan berkaitan peraturan akan terus dibuat secara bebas berdasarkan merit masing-masing.
CAAM menggalakkan majikan yang layak memasukkan program latihan berkenaan dalam perancangan pembangunan kakitangan serta berkongsi keperluan latihan mereka dengan MAvA bagi memastikan kemahiran tenaga kerja sektor penerbangan terus dipertingkatkan. - DagangNews.com






