Neurons Asia bekerjasama dengan UTAR tawar perkhidmatan bantu syarikat kenal pasti potensi pekerja

LocalBusiness & Finance
6 Nov 2026 • 3:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Neurons Asia bekerjasama dengan UTAR tawar perkhidmatan bantu syarikat kenal pasti potensi pekerja Image from: Neurons Asia bekerjasama dengan UTAR tawar perkhidmatan bantu syarikat kenal pasti potensi pekerja amree06/11/2026 - 15:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Nov – Penyedia rumusan neurokepelbagaian tempatan, Neurons Asia Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan Univesiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) bagi menawarkan pendekatan berasaskan profil kognitif bagi membantu majikan memahami potensi sebenar pekerja berfikir, berkomunikasi dan memproses maklumat. 

 

Syarikat itu menerusi kenyataan berkata, anggaran seorang daripada lima individu mempunyai ciri neurodivergen, namun perbezaan dari segi pemikiran, pembelajaran dan cara bekerja dikenal pasti masih kurang difahami dalam kebanyakan persekitaran pekerjaan namun berpotensi dijadikan kekuatan dapat dimanfaatkan organisasi

 

Dibangunkan menerusi program inkubator PETRONAS Innovation Garage (PING), Neurons Asia menyediakan perkhidmatan pemprofilan kognitif, latihan, bimbingan, alat produktiviti dan kebolehcapaian serta perundingan tempat kerja bagi membantu organisasi mengenal pasti kekuatan dan keperluan pekerja.

 

"Teras pendekatan itu ialah Genius Finder®, alat pemprofilan berasaskan bukti yang dibangunkan syarikat berpangkalan di Britain, Genius Within, bagi menilai cara individu berfikir, belajar dan bekerja, termasuk kekuatan kognitif, fungsi eksekutif serta kecenderungan kerja," katanya.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Neurons Asia, Shahirah Abdol Raman berkata, pemahaman lebih mendalam terhadap perbezaan individu membolehkan pengurus mengadakan perbincangan lebih berkesan mengenai kekuatan, cabaran dan sokongan yang diperlukan pekerja untuk menyumbang secara optimum.

 

Menurutnya, usaha pembinaan tempat kerja secara inklusif perlu melangkaui kesedaran semata-mata dengan syarikat berkenaan akan menyediakan alat praktikal, maklumat tepat dan keyakinan kepada organisasi untuk menyesuaikan pendekatan pengurusan pekerja.

 

Neurons_DagangNews2026

 

Selain pemprofilan, Neurons Asia turut menawarkan latihan yang berkaitan neurokepelbagaian di tempat kerja, fungsi eksekutif dan komunikasi, di samping pelbagai program bimbingan serta khidmat nasihat kepada organisasi korporat.

 

"Kami turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan UTAR bagi mewujudkan kerangka kerjasama penyelidikan mengenai aspek neurokepelbagaian dalam kalangan pelajar universiti dan golongan bekerja yang boleh dimanfaatkan majikan," jelas Shahirah menerusi kenyataan tersebut.

 

Kerjasama bertajuk 'Building a Malaysian Evidence Base on Neurodiversity Among University Students and Working Adults' itu bertujuan membina asas bukti tempatan yang kukuh, sekali gus membantu menghasilkan rumusan praktikal dengan keperluan serta latar budaya masyarakat Malaysia.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UTAR, Ir Profesor Datuk Dr. Ewe Hong Tat berkata, kerjasama itu menggabungkan kepakaran akademik dan pengalaman industri bagi memperdalam pemahaman terhadap keperluan individu neurodivergen, termasuk dalam persekitaran pembelajaran dan pekerjaan.

 

Menerusi kerangka kerjasama selama tiga tahun itu, UTAR akan menerajui reka bentuk kajian, tadbir urus penyelidikan, analisis serta penerbitan ilmiah, manakala Neurons Asia menyumbang kepakaran dalam neurokepelbagaian, fungsi eksekutif dan penglibatan pihak berkepentingan industri.

 

Neurons Asia menegaskan pemprofilan kognitif bukan diagnosis atau pengganti kepada pengurusan pekerja, sebaliknya menjadi asas maklumat untuk membantu organisasi memahami perbezaan cara bekerja serta mengenal pasti sokongan sesuai bagi mengoptimumkan produktiviti. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved