sarah19/10/2026 - 17:49 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt - Minyak sawit bakal diteroka sebagai bahan asas makanan ternakan premium apabila CAB Cakaran Corporation Bhd (CAB) dan Oiltek Global Pte Ltd (Oiltek) merancang usaha sama untuk menghasilkan ramuan makanan ternakan bernilai tinggi dengan memanfaatkan teknologi pemprosesan sawit.
Kerjasama itu membuka peluang kepada CAB untuk membangunkan produk makanan ternakan bernilai lebih tinggi dengan memanfaatkan empat kilang makanan ternakan miliknya di Westport, Butterworth, Melaka dan Sabah, sekali gus menyediakan infrastruktur sedia ada bagi menilai potensi pengkomersialan produk berkenaan.
CAB dalam kenyataan berkata, kedua-dua syarikat telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) tidak mengikat bagi meneroka penukaran produk terpilih berasaskan minyak sawit kepada ramuan makanan ternakan yang sesuai untuk industri penternakan dan ayam.
Menurutnya, kerjasama itu menggabungkan pengalaman 50 tahun CAB dalam industri penternakan dengan kepakaran Oiltek selama 45 tahun dalam teknologi pemprosesan minyak sawit, bagi meningkatkan kualiti nutrisi, kebolehcernaan dan nilai komersial bahan makanan ternakan berasaskan sawit.
Pengarah Urusan Kumpulan CAB, Christopher Chuah Hoon Phong berkata, kerjasama tersebut memberi peluang kepada syarikat untuk mengembangkan perniagaan melangkaui aktiviti sedia ada melalui inovasi dan pembangunan aplikasi hiliran sawit yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
“Kerjasama ini merupakan langkah penting dalam usaha kami mengembangkan perniagaan melangkaui kekuatan sedia ada serta mencipta nilai lebih tinggi melalui inovasi, teknologi dan pembangunan aplikasi baharu bagi produk berasaskan sawit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Oiltek International Ltd, Henry Yong Khai Weng berkata, kerjasama itu membolehkan syarikat meneroka penggunaan kepakaran kejuruteraannya dalam industri makanan ternakan dengan memanfaatkan infrastruktur dan pengalaman CAB, selain menilai peluang yang berpotensi memberi nilai kepada industri sawit dan makanan ternakan Malaysia.
CAB kini memiliki empat kilang makanan ternakan selepas melengkapkan pengambilalihan keseluruhan kepentingan dalam Cargill Feed Sdn Bhd, yang dinamakan semula sebagai CAB Feed Sdn Bhd, pada 28 November 2025. Bagaimanapun, cadangan usaha sama dengan Oiltek masih tertakluk kepada penilaian daya maju teknikal, komersial dan operasi, pemeteraian perjanjian muktamad serta kelulusan berkaitan. - DagangNews.com

