Cabul juruwang, lelaki miang ditahan polis

27 Apr 2026 • 1:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cabul juruwang, lelaki miang ditahan polis
Suspek ditahan dalam serbuan di sebuah rumah pekerja di Jalan Batu Laut, Tawau.

TAWAU - Seorang wanita berdepan trauma apabila mendakwa dicabul lelaki tidak dikenalinya semasa sedang bekerja di sebuah pasar raya di Bandar Tawau di sini pada Sabtu. 

Bagaimanapun, tindakan tidak senonoh lelaki berusia 57 tahun itu membawa padah apabila ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dalam satu serbuan kira-kira jam 5.30 petang Ahad di sebuah rumah pekerja di Jalan Tanjung Batu Laut di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah semasa mangsa yang juga juruwang berusia 20 tahun sedang bekerja mendakwa, dia didatangi suspek yang berpura-pura bertanyakan barangan sebelum bertindak memeluknya.

"Semasa suspek meminta mangsa menunjukkan lokasi barangan sebelum wanita itu mengikutnya ke bahagian rak sabun. 

"Namun, ketika mangsa cuba beredar, suspek secara tiba-tiba bertindak menarik dan memeluk mangsa sambil mendakwa mangsa adalah anak saudaranya.

"Suspek kemudian bertindak tidak senonoh dengan menyentuh beberapa bahagian tubuh mangsa," katanya dalam kenyataan.

Jasmin berkata, mangsa yang terkejut dengan tindakan itu segera tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Bertindak atas maklumat, satu serbuan dibuat dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

"Turut dirampas beberapa pakaian dipercayai digunakan semasa kejadian bagi membantu siasatan," katanya.

Tambahnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dan suspek kini direman untuk siasatan lanjut," katanya.