Cabul Kanak-Kanak Perempuan, Lelaki Filipina Dipenjara 10 Tahun

23 Nov 2026 • 3:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Cabul Kanak-Kanak Perempuan, Lelaki Filipina Dipenjara 10 Tahun

LAHAD DATU - Seorang lelaki Filipina berusia 53 tahun dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, tahun lalu.

Hakim Suhailla Selag menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mahkamah turut memerintahkan supaya hukuman penjara berkenaan berkuat kuasa mulai hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan menyentuh mangsa secara fizikal dengan tujuan seksual di sebuah pondok di FELDA Sahabat Desa Kencana, kira-kira jam 10 pagi, pada 29 Julai 2025.

Mangsa merupakan jiran tertuduh ketika kejadian berlaku.

Berdasarkan fakta kes, bapa mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Desa Kencana pada 29 Ogos 2025 selepas mengesyaki anak perempuannya menjadi mangsa gangguan seksual oleh tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam sepanjang prosiding memohon agar mahkamah mengenakan hukuman lebih ringan dengan mengambil kira faktor usia, penyesalan serta keinsafannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Shearil Aizad Murnizam, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraannya mengikut Seksyen 26 akta berkenaan.

Selain itu, tertuduh akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen sebaik sahaja selesai menjalani hukuman penjara. - Getaran, 23 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved